Susunan Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


Bintang semakin mekar namanya dalam industri perfileman antarabangsa, Priyanka Chopra memulakan kembara seni dengan membintangi filem di tanah kelahirannya di Bollywood, India selepas memenangi pertandingan ratu cantik dunia.

Priyanka mula mendaki populariti di pentas seni Hollywood selepas berkolaborasi bersama Pitbull dalam lagu Exotic dan kemudian ditawarkan untuk membintangi drama bersiri popular Quantico dan sedang ditayangkan menerusi saluran AXN.

Ternyata lakonan hebat dipersembahkan dalam drama bertemakan aksi dan penyiasatan di Hollywood itu mendapat perhatian peminat seluruh dunia. Ia secara tidak langsung membolehkan kerjaya lakonan bekas pemenang Ratu Cantik Dunia 2000 ini semakin berkembang.

Terbaru pelakon jelita berasal dari Jamshedpur, Bihar, India itu dilaporkan bakal bergandingan dengan Dywane Johnson menerusi filem Baywatch diadaptasi dari drama bersiri cukup popular menggunakan judul sama sekitar awal 90-an.

Tawaran demi tawaran yang diterima Priyanka menunjukkan kehadiran aktres itu di negara Uncle Sam semakin diterima baik.

Bagaimanapun, wanita jelita itu menjelaskan kejayaan diperoleh ketika ini tidaklah semudah yang disangka. Dia berhadapan dengan pelbagai dugaan.

Pastinya perjalanan kerjaya dilalui ada pasang surutnya. Hanya sejak kebelakangan ini graf kariernya semakin stabil.

“Mengimbas di saat awal saya mula terjun ke bidang lakonan ada insiden berlaku membuatkan saya berusaha gigih agar dapat terus bertahan sebagai pelakon.

“Kejadian berlaku sewaktu saya berbincang dengan seorang penerbit yang ingin menjalankan uji bakat terhadap saya untuk membintangi sebuah filem. Namun atas sebab tertentu saya tidak dapat menghadiri uji bakat berkenaan.

“Dia memaklumkan kepada saya andai tidak hadir uji bakat, mereka akan mencari aktres lain atau memberikan karakter itu kepada pelakon lelaki.

“Katanya lagi kepada saya, pelakon wanita mudah untuk ditukar ganti. Kenyataan dibuat penerbit terbabit bermain-main dalam fikiran saya sehingga kini.

“Ia juga membuat saya bekerja keras agar tidak ada pelakon wanita lain menggantikan tempat saya. Dengan kejayaan yang saya kecapi sekarang ini, saya katakan kepadanya kembali dalam nada gurau bahawa tidak ada orang yang dapat menggantikan saya,” katanya.

Melihat jadual kerjanya yang padat, Priyanka menjelaskan tidak ada sebab untuk dia berasa takut dengan situasi di mana keadaan industri yang saban hari dimeriahkan dengan kehadiran pendatang baru.

Dia sama sekali tidak terkesan kerana ia sebagai satu perkara yang positif dan menganggap situasi itu tidak mengancam popularitinya.

“Karier saya tidak terjejas dengan kejayaan mahupun kegagalan orang lain. Saya percaya, setiap pelakon itu dipilih atas kelebihan dan kredibiliti masing-masing. Saya selalu mencabar diri sendiri dan mencari peluang yang lebih besar.

“Ada benarnya andai kerjaya seni saya tidak kukuh, industri yang dimeriahkan oleh orang baru akan menggugat kedudukan saya.

“Begitupun dari pengamatan memandangkan saya berkawan dengan ramai pelakon pembantu, mereka kelihatan sangat yakin dengan kedudukan mereka dalam industri dan soal mengambil alih tempat atau menggantikan saya atau pelakon lain tidak mungkin berlaku.

“Apatah lagi industri seni di Bollywood mahupun Hollywood agak besar,” katanya.

Terbabit dalam siri Quantico, menjayakan watak utama sebagai Alex Parrish menjadikan Priyanka wanita pertama dari Asia Selatan yang menjadi tunjang utama dalam siri terbitan produksi di Hollywood.

Katanya, walaupun mempunyai nama besar di India namun dia harus menjalani uji bakat dan berjaya melakonkan karakter itu atas usaha kerasnya.

“Saya bekerja keras untuk mendapatkan watak itu. Di India umum sudah mengenali saya tetapi di Hollywood hanya sebahagian kecil yang menyedari kewujudan saya dalam industri. Oleh itu, saya harus memberikan persembahan lakonan berbeza.

“Berjaya memegang watak sebagai Alex, saya mahu lari dari zon selesa dan karakter yang sering saya lakonkan sebelum ini. Saya tidak mahu hanya dilihat sebagai seorang wanita eksotik atau wanita India yang bendul.”

“Ini adalah masa mencuba pendekatan lain dalam menzahirkan watak. Saya tidak mahu membawa watak itu kerana ia sesuai dengan wajah saya, sebaliknya saya dipilih disebabkan saya adalah pelakon yang tepat untuk karakter berkenaan,” katanya.

Quantico ditayangkan di 120 wilayah, ia membuatkan populariti Priyanka meningkat dengan cepat dan jumlah peminat bertambah.

Katanya, sebagai pelakon dia hanya ingin bakat diterima dan hasil kerjanya dihargai. Berlakon dalam karya aksi bukan satu masalah besar buat wanita pelakon jelita itu.

Pengalaman diperoleh Priyanka sebelum ini banyak membantunya untuk menjayakan watak Alex dengan baik. Itu bukanlah satu cabaran utama buat dirinya.

“Saya pernah berlakon dalam filem aksi di Bollywood seperti Don, Don 2, Drona dan Mary Kom. Melakonkan watak aksi bukan masalah besar. Saya sudah ada pengalaman. Cabaran utama adalah untuk memahami watak Alex.

“Saya gembira dengan maklum balas penonton. Di mana saja saya berada, ramai yang mengenali saya menerusi drama itu. Ia membuatkan saya ingin berusaha lebih keras untuk maju ke depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 5:02 AM