Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Ramai keliru dari mana datangnya motosikal jenama Benelli. Sebenarnya, Benelli adalah pengeluar motosikal tertua dari Itali sejak ditubuhkan 1911.

Jika dilihat sejarahnya, motosikal jenama Benelli mempunyai latar belakang yang cukup hebat selepas memenangi kejohanan MotoGP pada 1950 dan 1969.

Cuma ketika ini, Benelli dimiliki Qianjiang Group iaitu sebuah syarikat gergasi dua roda di China yang juga pemegang motosikal jenama Keeway.

Dalam industri automotif alaf baru ini, fenomena syarikat China memiliki jenama Eropah sudah dianggap biasa di mana senario sama turut berlaku antara Volvo Car Corporation yang dimiliki Zhejiang Geely Holding Group.

Namun bagi produk motosikal jenama itu di negara ini, ia dipasang dan diedar oleh Benelli Keeway Motorcycles Sdn Bhd (BKM) dengan taruhan model baharunya menerusi Benelli TnT25 yang dilancarkan baru-baru ini.

Ini adalah kali pertama penulis menunggang uji motosikal jenama Benelli dan penilaian secara keseluruhan adalah tidak mengecewakan lebih-lebih lagi harganya ditawarkan lebih murah berbanding jenama lain.

Bagi yang mahu berjinak-jinak dalam motosikal bersesaran 250cc, Benelli TnT25 adalah pilihan tepat selain bersesuaian untuk tunggangan dalam bandar.

Penulis berasakan bentuk motosikal model ‘naked’ ini tidak terlalu besar yang kerap menghantui penunggang ketika melalui di celah-celah kenderaan lain pada waktu sesak.

Gaya dan posisi menunggang tidak terlalu membongkok membuatkannya lebih mudah dikendalikan dan kurang penat ketika perjalanan jarak jauh.

Cuma penulis rasa kurang selesa adalah pemegangnya terlalu lebar serta sedikit berat yang terpaksa menggunakan banyak tenaga untuk mengawalnya.

Dengan ketinggian penulis hanya 1.65 meter, motosikal itu boleh dianggap tinggi kerana kedua-dua kaki terpaksa menjengkit untuk mencecah permukaan jalan.

Namun ia sebenarnya tidak memberi masalah kerana penulis sebelum ini pernah menunggang uji motosikal yang lebih tinggi dan berat berbanding Benelli TnT25.

Motosikal yang menggunakan enjin silinder tunggal penyejukan cecair itu masih mampu menyalurkan pecutan bertenaga dengan menghasilkan kuasa 25.2hp dan tork 21.5Nm.

Kerahan selepas memulas pendikit secara maksimum menghasilkan pecutan yang baik dan cukup mudah mencapai 120 kilometer sejam (km/j).

Sepanjang menunggang motosikal itu, penulis hanya mampu memecut antara 130 sehingga 140km/j. Bagaimanapun, kelajuan maksimumnya mungkin lebih sekiranya laluan yang digunakan tidak sesak dengan kenderaan lain.

Malah kuasa kilasnya cukup membanggakan kerana penulis tidak perlu menukar gear secara kerap sekali gus memudahkan menunggang di laluan sibuk terutama pada waktu puncak.

Benelli TnT25 mantap di selekoh dan mungkin pemegangnya yang berat itu adalah ‘rahsia’ bagi memberi pengendalian lebih stabil.

Suspensi hadapan dan belakangnya yang tidak terlalu lembut turut menyakinkan lagi ketika penulis mengendalikan motosikal ini di selekoh pada kelajuan sedikit tinggi. Cuma rasa kurang selesa ketika melalui permukaan jalan yang tidak rata.

Dalam seminggu berulang-alik dari rumah ke pejabat, penulis tidak perlu mengisi bahan apinya selepas ia mempunyai tangki petrol yang besar sehingga 17 liter.

Sementara itu, kuasa hentiannya yang dipertingkatkan memberi cengkaman lebih-lebih lagi menggunakan tayar berjenama untuk memberi prestasi terbaik.

INFO

BENELLI TNT25

- ENJIN: Silinder tunggal sejukan cecair bersesaran 249cc

- KUASA MAKSIMUM: 25.2hp pada 9,000rpm

- TORK MAKSIMUM: 21.5Nm pada 7,500rpm

- TRANSMISI: Enam kelajuan

- TANGKI: 17 liter

- BERAT KERING: 150 kg

- KETINGGIAN TEMPAT DUDUK: 0.71 meter

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 5:02 AM