Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my

Muar: Jelajah Ledakan 25 tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt, di sini, menutup tirainya dengan kehadiran lebih lima ribu warga Muar memeriahkan konset mini, malam tadi.

Warga Muar yang juga peminat setia Harian Metro dihiburkan oleh Amelina, Asfan, Forteen, Indah Ruhaila dan Sandra, di Dataran Tanjung Emas.

Sandra membuka tirai konsert, kira-kira 9 malam, dengan lagu popularnya, Hey Kau dan single terbaru Ku Tak Mahu Cinta, ciptaan Ammar Habir.

"Sambutan orang Muar sangat hebat dan saya suka bila mereka tahu lagu saya.

“Untuk lagu baru ni saya harap dapat maklum balas positif daripada peminat," kata Sandra yang teruja untuk menantikan bagaimana sambutan pengunjung pada jelajah di Miri, Sarawak yang bakal disertainya.

Pentas kemudian terus dihangatkan oleh artis kelahiran program realiti TV, Indah Ruhaila dengan lagu lama yang diberi nafas baru, Bila Larut Malam dan lagu hitsnya, Percayalah.

"Saya gembira dapat terbabit dengan konsert jelajah ini dan teruja sebab orang Muar sangat 'sporting.'

"Saya harap orang Muar semua terhibur dengan persembahan saya dan rakan-rakan artis," kata Indah Ruhaila.

Asfan kemudian mengambilalih pentas dengan menyampaikan lagu Semua Tentang Kita diikuti versi remix terbaru lagu Alasan Untuk Bahagia bergandingan dengan anak didiknya, band Kamasastra.

Menurut Asfan, versi baru itu memiliki kelainan apabila ia diadun dengan muzik hip hop dan akan dimuatkan dalam album terbarunya nanti.

"Konsert di sini sangat meriah dan orang-orang Muar 'sporting' dan acara macam ini memberi peluang kepada artis untuk dekat dengan peminat dan rakan media.

"Sangat seronok bila dapat bawa anak didik di atas pentas dan ini merupakan satu pendedahan untuk mereka.

"Terima kasih Harian Metro dan saya harap acara macam ini perlu diadakan setiap tahun kerana ini adalah medium terbaik untuk pembaca bertemu dengan Harian Metro dan artis," kata Asfan yang album penuhnya dijangka akan keluar pada Ogos ini.

Penyanyi yang digelar Ratu Dangdut, Amelina ternyata kekal di hati peminat walaupun menghilang 15 tahun apabila pengunjung tidak henti-henti memanggil namanya.

Dia yang bijak bergurau senda dan berkomunikasi dengan peminat terus menghangatkan pentas menerusi lagu-lagu popularnya.

Sempat mengajak peminat menyanyi bersama, dia memulakan persembahan dengan lagu Semakin Rindu Semakin Asyik, diikuti single baru Cinta Harus Seksi dan lagu Rindu.

Kumpulan Forteen yang membuat persembahan tanpa Izzue Islam juga berjaya menghiburkan peminat dengan lagu pertama iaitu single terbaru mereka Dekat Tapi Jauh, ciptaan Edry Abdul Halim.

One, Amer dan Ariz kemudiannya menyampaikan lagu berjudul Kita sebagai lagu kedua mereka.

Selepas Muar, lokasi berikutnya siri jelajah ini adalah di Padang MPK3, Kuantan, Pahang (25 dan 26 Mac); Fan City Mall, Miri, Sarawak (15 dan 16 April) dan kemudian Padang Merdeka, Kuching, Sarawak pada 23 dan 24 April.

Siri Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro dan Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro turut dijayakan rakan penaja iaitu Yeo Hiap Seng Trading Sdn Bhd, Malaysia Airlines Berhad, Cactus, Unilever Food Solutions, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, GCH Guardian, Bank Rakyat, Grab, DRB-Hicom University of Automotive Malaysia dan AmBank Group.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 12:18 AM
ANTARA warga Muar di Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo's Yeogurt di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor. FOTO Syarafiq Abd Samad
ANTARA warga Muar di Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo's Yeogurt di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor. FOTO Syarafiq Abd Samad
ASFAN membuat persembahan pada konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo's Yeogurt di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor. FOTO Syarafiq Abd Samad
SANDAR Sandra membuat persembahan pada konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo's Yeogurt di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor. FOTO Syarafiq AbdSamad
INDAH Ruhaila beramah mesra dengan peminat pada Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo's Yeogurt di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor. FOTO Syarafiq Abd Samad