AKTIVIS menyertai protes sebelum minum racun.
AFP

Rajkot (India): Seorang aktivis hak lembu Hindu mati selepas dia dan tujuh rakannya meminum racun perosak sebagai tanda protes menggesa kerajaan India memberi perlindungan yang lebih besar kepada haiwan itu.

Polis berkata, kumpulan penyembah lembu ‘gau Bhakt’ minum racun ketika satu perhimpunan di luar pejabat kerajaan di Gujarat.

Mereka mendesak lembu diberi status khas ‘rashtra mata’ (ibu negara) selain membantah penyembelihan lembu yang berterusan walaupun pengharaman membunuh haiwan itu dilaksanakan secara meluas.

Penyiasat kes, Inspektor Manish Nakum berkata: “Mereka membawa botol mengandungi racun dan minum sedikit.

“Semua dikejarkan ke hospital kerajaan dengan seorang daripada mereka, Gabhru Bharwad, 40, mati ketika diberi rawatan.”

Nakum berkata, dia tidak percaya lelaki itu benar-benar mahu membunuh diri.

Penyembelihan dan penggunaan daging lembu diharamkan di Gujerat dan beberapa negeri lain walaupun India secara rasmi negara sekular.

Aktivis mendakwa lembu masih dibunuh secara haram dan mahu lembu diberi status rashtra mata.

Sekitar 27 ahli kumpulan yang sama turut cuba menyekat jalan di Rajkot tetapi ditahan, kata polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 5:21 AM