NURSULTAN
Agensi

Astana: Rakyat Kazakstan yang layak mengundi akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka memilih 98 anggota baru Parlimen dan ahli majlis tempatan esok, setahun lebih awal daripada sepatutnya.

Seramai 234 calon mewakili enam parti akan bertanding merebut 98 kerusi Parlimen atau Majlis sementara 10,825 calon akan bersaing untuk menduduki kerusi di dewan majlis tempatan yang dikenali sebagai Maslikhat.

Pilihan raya presiden yang sepatutnya berlangsung tahun ini juga diadakan lebih awal tahun lalu. Ia dimenangi Presiden Nursultan Nazarbayev yang mewakili Parti Nur Otan dengan meraih 97.75 peratus undi bagi membolehkan dia memimpin Kazakshtan untuk tempoh lima tahun lagi.

Nursultan membubarkan Parlimen pada 20 Januari lalu selepas diminta berbuat demikian oleh anggotanya atas alasan ia perlu dilakukan bagi menangani cabaran baru yang berpunca daripada krisis ekonomi dihadapi negara ekonomi terbesar Asia Tengah itu.

Kazakhstan berdepan dengan masalah ekonomi sejak hasil pendapatan daripada minyak dan logam - eksport utama negara itu - mula jatuh teruk sejak lebih setahun lalu.

Mendahului enam parti yang bertanding esok ialah Nur Otan. Parti yang diketuai Nursultan itu menguasai Majlis pada penggal lalu.

Sementara itu, parti properdagangan, Parti Demokratik Ak Zhol dan Parti Rakyat Komunis akan berusaha mengekalkan atau jika mungkin, meningkatkan kehadiran mereka di Dewan itu.

Parti Auyl dan Parti Demokratik Sosial Kebangsaan serta satu-satunya pendatang baru, Parti Birlik (Perpaduan) akan cuba memperoleh tujuh peratus undi untuk membolehkan mereka mewakili pengundi mereka di Parlimen akan datang.

Purata usia calon yang bertanding ialah 52 dengan yang muda berusia 26 tahun. Daripada 234 calon yang bertanding, 187 lelaki. Hampir semuanya memiliki sijil pelajaran tinggi dan seorang daripada empat calon ialah jurutera, satu per lima berkelulusan ekonomi atau undang-undang.

Sebahagian besar rakyat Kazakhstan percaya pilihan raya yang diadakan lebih awal itu meningkatkan keyakinan terhadap pembaharuan dilaksanakan kerajaan serta membuka peluang lebih luas kepada negara itu untuk mencapai matlamat pembaharuannya.

Beberapa pemerhati juga yakin pilihan raya baru itu mendorong kepada perbahasan dan idea baru, menggalakkan dialog antara kerajaan dan rakyat serta mengembangkan pendekatan dalam melaksanakan dasar antikrisis kerajaan.

Namun, ada juga yang menyuarakan kebimbangan, jika parti yang diketuai Nursultan itu terus menguasai Parlimen, kemungkinan untuk mendapatkan idea baru itu tidak akan berjaya.

Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu berkata, 815 pemerhati antarabangsa akan memantau perjalanan pilihan raya kali ini. Kementerian Luar negara itu juga memberi akreditasi kepada 140 wartawan asing, termasuk dari Harian Metro bagi membuat liputan.

Selain daripada 98 kerusi yang dipertandingkan menerusi senarai parti, perlembagaan Kazakhstan juga menjamin kehadiran badan perunding terdiri daripada persatuan etnik untuk mewakili kepentingan 130 kumpulan etnik negara itu.

Majlis akan melantik enam wakilnya ke Parlimen pada sidang khas yang dijangka berlangsung pada Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 5:20 AM