JAKET dengan lengan tajam pada bahu sesuai untuk mereka yang memiliki lengan besar.
MARYANNI berkongsi mengenai penampilan imej.
PEMILIHAN pakaian termasuk warnanya harus berpadanan.
Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

Wanita perlu menitikberatkan beberapa perkara sebelum mengenakan pakaian supaya tampak menarik dan profesional serta tidak nampak janggal.

Menurut perunding imej MaryAnni Masarip, wanita perlu berpakaian mengikut empat kriteria penting iaitu masa, majlis, tempat dan tujuan.

Pada masa sama, pemilihan kasut juga perlu disesuaikan dengan bentuk dan saiz kaki, selain mengambil kira bentuk serta saiz badan.

“Selain untuk nampak cantik, tapak kasut yang bersesuaian dengan saiz badan akan memberi sokongan. Misalnya jika badan besar, tapak kasut perlulah sederhana tinggi dan tidak terlalu runcing supaya dapat mengimbangi diri dengan baik.

“Jika pemilihan kasut salah, bukan saja nampak tidak cantik, tetapi kemungkinan boleh menyebabkan wanita terjatuh dan cedera,” katanya.

MaryAnni berkata, bagi mereka yang memiliki saiz kasut empat hingga enam, kasut berbentuk A atau runcing pada bahagian muncungnya boleh digayakan.

Bagaimanapun bagi yang memiliki saiz kaki antara tujuh hingga sembilan, lebih cantik dan selesa sekiranya mengenakan kasut yang mempunyai muncung menegak.

“Manakala kasut berbentuk membulat pada muncungnya sesuai digayakan semua saiz kaki. Bagi yang berbadan besar, jika mahu memakai kasut lebih tinggi, ia perlu disertai dengan tumit lebih lebar sebagai sokongan,” katanya.

Menurutnya, kesilapan berfesyen yang sering dilakukan wanita adalah memakai kasut yang salah termasuk tidak mengikut bentuk kaki, memilih tapak kasut tidak sesuai sama ada terlalu rata atau tumit terlalu halus tanpa mengambil kira sama ada ia dapat mengimbangi tubuh mereka dengan baik atau sebaliknya ketika berjalan.

Selain itu, wanita juga melakukan kesilapan me­ngenakan solekan sama ada terlalu tebal atau terlalu nipis, tanpa mengikut majlis.

“Kadangkala wanita melakukan kesilapan dari segi pemilihan aksesori sama ada terlalu sarat hingga nampak serabut.

“Selain itu, ada wanita memakai pewangi dengan kadar terlalu banyak. Wanita perlu tahu setiap mi­nyak wangi mempunyai jenis berbeza sama ada EDP, EDT, EDC ataupun ‘parfum’.

“Sebaiknya minyak wangi disembur selepas mandi dan tidak perlu terlalu banyak, cukup jika di kawasan nadi dan kulit iaitu di bahagian leher, pergelangan tangan, dada dan bahu, bukannya pada pakaian,” katanya.

Pada masa sama, MaryAnni berkata, kesilapan terbesar wanita hingga boleh meninggalkan kesan kekal apabila tidak tahu memilih antara deodoran atau semburan antipeluh.

Katanya,wanita harus tahu deodoran untuk mereka yang tidak berpeluh manakala semburan antipeluh untuk mereka yang kuat berpeluh.

“Jika mereka yang tidak berpeluh menggunakan semburan antipeluh, kulit di bahagian ketiak akan berubah menjadi hitam dan sukar untuk memperbaikinya semula,” katanya.

Selain itu, katanya, wanita perlu menggunakan tiga alat solek asas bagi membuatkan wajah lebih berseri, seterusnya penampilan lebih anggun.

Tiga alat solek asas itu ialah bedak muka yang sama dengan warna kulit wajah, penggaris mata dan juga gincu yang seharusnya dipadankan dengan warna gusi supaya kelihatan semula jadi.

“Lebih baik sekiranya bedak muka yang digunakan ialah ‘two-way cake’ kerana ia boleh dipakai sama ada basah ataupun kering untuk diratakan di seluruh wajah,” katanya.

Panduan berpakaian daripada MaryAnni:

- Bagi yang bertubuh gempal dan memiliki lengan besar, boleh mengenakan blaus dengan hujung yang tajam atau potongan lurus, bukannya membulat supaya tidak nampak ‘lebih besar’.

- Pemilihan jaket pula biarlah memiliki bahu yang tajam untuk memberi ilusi lengan lebih kurus.

- Bagi yang berbadan besar, teknik membeli, jika pertama kali melihat pakaian, perhatikan di mana tumpuan mata kita. Jika tumpuan mata lebih pada bahagian bermasalah seperti di perut, pinggul atau paha, batalkan hasrat membeli baju itu.

- Sebaliknya beli pakaian yang menonjolkan kawasan lebih selamat seperti di bahagian dada. Pada masa sama, lebihkan tumpuan kepada tudung supaya pandangan orang akan beralih dari kawasan ‘bermasalah’ ke kawasan lebih selamat pada tubuh kita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 5:20 AM