Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, memerintahkan seorang penganggur, Shahrul Anuar Abdul Aziz, yang didakwa mencuri telefon bimbit berharga RM800 di Plaza Low Yat, Bukit Bintang, Julai tahun lalu, untuk membela diri.

Majistret Nur'Aminahul Mardiah Md Nor membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 hingga 14 April ini sebagai tarikh perbicaraan untuk tertuduh berusia 23 tahun itu membela diri.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri telefon bimbit berharga RM800 di Techasia Boutique, Plaza Low Yat, Bukit Bintang, pada 4.47 petang, 11 Julai tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Selain kes curi telefon bimbit, pada 12 Februari lalu, Shahrul Anuar didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan mengambil syabu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi .

Pada 24 Februari lalu, tertuduh sekali lagi dihadapkan ke mahkamah dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencederakan seorang mekanik menggunakan parang di Jalan Jelatek, di sini, pada 20 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 2:14 PM