WANI jadikan peluang jayakan konsert sebagai platform untuk lebih dikenali.
Oleh Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Lagu Lepaskan dendangannya semakin mendapat perhatian pencinta muzik tanah air.

Berita gembira buat peminat Wani, penyanyi remaja ini akan menjayakan persembahan Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor, Sabtu ini.

Mengulas pembabitannya, Wani berkata dia tidak sabar menghiburkan peminat di Muar dan kawasan sekitar. Namun pada masa sama, sebagai pendatang baru sudah tentulah ada rasa gementar.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro kerana sudi menjemput saya terbabit sama dalam konsert ini.

“Perasaan saya bercampur baur. Ada rasa gementar dan pada masa sangat teruja untuk buat persembahan di pentas besar seperti ini,” katanya.

Tambah Wani, bagi menghiburkan peminat dia akan mendengdangkan dua lagu.

“Tentunya saya akan mempersembahkan single Lepaskan dan satu lagi lagu saduran iaitu Kun Anta.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan lagu Lepaskan menjadi antara lagu permintaan peminta dan insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik untuk memastikan mereka puas,” katanya lagi.

Pertama kali mengikuti siri jelajah sebegini, Wani berkata ia menjadi medan untuknya bertemu dan mendekati peminat.

“Dengan adanya siri jelajah dan konsert sebegini, saya berpeluang mengenali peminat dengan lebih dekat.

“Sebagai penyanyi baru, saya juga ingin menggunakan platform ini supaya peminat boleh mengenali nama dan lagu saya,” katanya.

Terbaru, Wani bakal muncul dengan single kedua berjudul Alhamdulil­lah.

“Lagu ini sudah siap dirakam. Seperti lagu Lepaskan, Alhamdulillah ada menyelitkan elemen muzik Timur Tengah.

“Karya ciptaan Zizi Kirana ini mengenai ekspresi rasa syukur atas nikmat Allah,” katanya.

Selain dapat berhibur dan mendekati artis kesayangan ramai, pengunjung juga berpelunag memena­ngi hadiah lumayan acara cabutan bertuah antaranya TV LED 40”, Samsung Galaxy Tab, Samsung Galaxy J1 Ace dan lima Air Cooler.

Program ini turut dijayakan bersama rakan penaja, termasuk Yeo Hiap Seng Trading Sdn Bhd, Malaysia Airlines Berhad, Cactus, Unilever Food Solutions, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, GCH Guardian, Bank Rakyat, Grab, DRB-Hicom University of Automotive Malaysia dan AmBank Group.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 10:35 AM