MUSTAPA (tengah) bersalaman dengan Pengarah Urusan Uzma Engineering Datuk Kamarul Redzuan Muhamed.
Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi Program Pembangunan Vendor (PPV) menarik penyertaan 18 syarikat vendor utama yang memberi manfaat kepada 2,670 syarikat vendor serta berpeluang menjana perolehan RM10.867 bilion setakat Disember 2015.

Pada 2014, 16 syarikat vendor utama menyertai program itu yang terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan, multinasional dan berprestasi tinggi (PCG 20).

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, secara keseluruhan sehingga Disember tahun lalu, 55,066 syarikat vendor iaitu termasuk vendor di bawah PPV telah berdaftar di bawah 18 syarikat utama berkenaan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 17,729 atau 32 peratus syarikat Bumiputera dan 37,337 atau 68 peratus daripadanya syarikat bukan Bumiputera.

“Pertambahan jumlah vendor di dalam program ini terutama golongan Bumiputera menunjukkan Perjanjian Trans-Pasifik (TPPA) tidak menjejaskan perniagaan mereka ini.

“Malah, nilai perolehan dijana vendor Bumiputera setakat 2015 sebanyak RM23.15 bilion,” katanya pada majlis memeterai memorandum persefahaman pelaksanaan PPV dengan dua syarikat utama baru di sini, semalam.

Dua syarikat utama ialah Serba Dinamik Sdn Bhd dan Uzma Engineering Sdn Bhd dan kedua-duanya menyertai PPV sejak tahun lalu dan termasuk dalam kalangan 18 syarikat keseluruhan yang direkodkan pada 2015.

Melalui penyertaan dalam PPV, syarikat vendor diberi bimbingan latihan, teknikal dan khidmat nasihat serta pembangunan penyelidikan melalui Program Pembangunan Kapasiti Vendor Bumiputera (PKKV) serta Geran Penyelidikan dan Pengkomersilan Vendor Bumiputera (GPPV) yang disediakan dalam tempoh Rancangan Malaysia ke 11 (RMK-11).

Bagi tujuan berkenaan, RM61 juta diperuntukkan kepada MITI bagi membantu syarikat vendor Bumiputera mencapai tahap daya saing yang membolehkan mereka bersaing di pasaran terbuka seterusnya global.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 9:14 AM