PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah (empat dari kanan) diiringi Naib Canselor UTM, Prof Datuk Abd Wahid Omar (tiga dari kiri) bergambar dengan penderma ketika Majlis Pelancaran Tabung 'Because We Care Chancellor's Fund' di hotel Double Tree by Hilton, Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Sebanyak RM1.8 juta berjaya dikumpul dalam masa empat hari, hasil sumbangan bagi mengisi Tabung Canselor 'Because We Care' Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah, sumbangan yang dikumpul itu bagi keperluan tabung yang ditubuhkan dengan tujuan membantu mahasiswa UTM yang kurang berkemampuan.

"Sebagai seorang ibu, saya selalu memikirkan soal anak-anak, bagaimana mereka makan, apa yang mereka makan menyebabkan apabila saya dapat tahu terdapat mahasiswa di UTM yang terpaksa ikat perut kerana mempunyai masalah kewangan, maka saya cadangkan untuk menubuhkan tabung ini.

"Alhamdulillah, dalam masa empat hari, ramai individu yang prihatin bersama-sama menyumbangkan wang bagi mengisi tabung ini termasuk Menteri Besar, barisan exco negeri, individu serta beberapa syarikat hartanah dan korporat," katanya ketika sidang media selepas melancarkan tabung berkenaan di sini, hari ini.

Sebagai permulaan, Permaisuri Johor itu turut berkenan menyumbang RM50,000, manakala Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menyumbang RM500,000.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Ir Wahid Omar; isteri Menteri Besar Johor, Datin Seri Rosni Omar dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 6:05 PM