TAN Sri Lee Lam Thye mengulas berkenaan tindakan mulia Anis Hidayah yang menyelamatkan anjing. FOTO Mohd Adam Arinin
Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: "Tindakannya itu memberi mesej kepada semua orang bahawa kita wajar mencintai dan mengasihi haiwan kerana rasa sayang dan kasih itu melangkaui perbezaan bangsa mahupun agama."

Itu kata Penaung Persatuan Pencinta Haiwan Selangor (SPCA), Tan Sri Lee Lam Thye mengenai tindakan Eksekutif Sumber Manusia, Anis Hidayah Mohd Taufik, 34, yang menyelamatkan anjing selepas dilanggar motosikal.

"Ini cerita yang amat menyentuh hati dan perasaan semua pencinta haiwan terutamanya apabila saya membacanya di ruangan muka depan Harian Metro semalam.

"Dia melakukannya secara spontan dan belas kasihannya terhadap haiwan itu sangat terpuji dan dihargai oleh semua pencinta haiwan," katanya.

Lee berkata, sepanjang menjadi penaung kepada SPCA, beliau giat berkempen untuk mendidik masyarakat supaya menghormati haiwan.

"Kita hidup di bumi yang sama dengan haiwan, jadi saya mahu tekankan kepada generasi muda kepentingan rasa kasih kepada alam termasuk haiwan.

"Jadikan saudari Anis Hidayah ini sebagai contoh dan kita perlukan lebih banyak individu seperti dia dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum.

"Ini kerana ada juga orang sanggup membeli haiwan dengan harga mahal tetapi kemudiannya enggan menjaga dan membuangnya di jalanan," katanya yang turut membela empat anjing yang diambilnya daripada SPCA.

Justeru, beliau mahu kisah ini menjadi panduan kepada semua pihak, agar tidak menzalimi haiwan dan mempunyai rasa kasihan serta ingin membantu jika melihat haiwan dilanggar di jalanan.

Video Anis Hidayah mengalihkan anjing yang dilanggar motosikal di Jalan Klang-Banting ke pembahagi jalan menjadi viral dan mendapat respon yang positif daripada pengguna Facebook (FB).

Anis Hidayah dalam laporan semalam berkata, dia sebenarnya tidak suka menjadi perhatian, sekaligus tidak menyangka tindakan spontannya itu memberi impak mendalam kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 2:00 PM