NIDJI
AMELINA
HYPER Act
NUHA
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my

Sebagai penghargaan buat semua pembaca dan pelanggan setia akhbar nombor satu negara, Harian Metro (HM), sebuah konsert membabitkan ramai artis popular akan diadakan pada 7 Disember ini bermula jam 8.30 malam.

Konsert yang diberi nama Konsert Karnival Padat itu akan diadakan di pekarangan Stadium Malawati, Shah Alam yang turut membariskan artis seperti Hyper Act, Nidji, Awi Rafael, Asmidar, Hazama, Fiq Mentor, Aweera, Ewal dan Nuha AF2014, Ajai dan Amelina.

Konsert akan diserikan dengan pengacara popular iaitu AG HotFM dan Jihan Muse.

Bertepatan dengan slogan 'Padat, Rugi Tak Layan', selain Konsert Padat HM, pembaca setia akan disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik menerusi Karnival HM Padat pada 6 dan 7 Disember.

Penyanyi dangdut yang lama menyepi, Amelina, 40, berkata, dia sangat teruja kerana selepas lama tidak muncul inilah kali pertama dia akan beraksi di depan khalayak ramai.

"Saya akui perasaan takut dan bimbang itu ada maklumlah sudah 16 tahun tidak menyanyi dalam konsert. Malah tidak saya nafikan perasaan gementar itu ada pada semua penyanyi apabila setiap kali hendak beraksi di sesebuah konsert.

"Apatah lagi saya yang sudah lama meninggalkan bidang ini pastinya perasaan itu bercampur baur. Apa pun saya berharap dapat memberikan suatu persembahan yang menarik buat peminat semua.

"Oleh itu, saya berharap kepada semua peminat marilah datang beramai-ramai memeriahkan karnival dan konsert Karnival Padat ini.

"Insya-Allah jika tiada halangan dan mendapat sorakan yang meriah daripada penonton yang ada pada malam itu, saya akan mempersembahkan single terbaru khusus buat mereka di situ," katanya yang akan menyampaikan lagu Asyik, Rindu dan Memori Daun Pisang.

Mengulas mengenai kepentingan akhbar kepada penyanyi sepertinya, Amelina berkata, setiap akhbar memainkan peranan dalam membantu memberi publisiti terhadap seseorang artis.

"Saya melihat perubahan demi perubahan yang berlaku terhadap akhbar HM. Apa yang saya lihat akhbar ini banyak perubahannya. Jika dulu ada yang belum yakin tapi kini ia sudah akhbar nombor satu di Malaysia.

"Di samping pengisian yang menarik dan pelbagai serta tidak hanya memaparkan kisah artis semata-mata, ia lengkap dengan berita sukan dan isu semasa.

"Malah dapat saya lihat wartawan kini juga lebih terbuka dan boleh menerima kehadiran seseorang artis itu tanpa menghiraukan kisah silam mereka. Masing-masing tahu menghormati hak peribadi setiap artis. Cerita yang ditulis juga tidak melampaui batas," katanya.

Sementara itu, Nidji yang diwakili pengurusan Warner Music (M) Sdn Bhd, Anne Mokhtar berkata, kumpulan dari seberang yang sedang popular dengan lagu Menunggu Karma itu bakal mempersembahkan tiga lagu.

"Ini adalah persembahan konsert yang pertama kali dijayakan oleh Nidji di Malaysia. Mereka begitu teruja dan tidak sabar untuk bertemu dengan peminat semua.

"Selain itu, peminat turut berpeluang bertemu Nidji dengan lebih dekat lagi di mana kami sedang merancang mengadakan sesi Meet & Greet bersama peminat pada karnival itu nanti," katanya.

Karnival yang menjangkakan kehadiran lebih 100,000 pengunjung itu akan bermula seawal jam 10 pagi sehingga 7 malam pada Sabtu manakala keesokan harinya sehingga tengah malam.

Turut dimeriahkan dengan barisan gerai-gerai penaja antaranya Maxis selaku penaja utama manakala Avon, I-Pmart, Burgerbyte dan Hemariton sebagai penaja bersama.

Pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti seperti gubahan bunga, pameran dan jualan kereta baru dan terpakai, jualan aksesori kenderaan dan pertandingan modifikasi terbaik kereta dan motosikal.

Selain itu, turut menjadi tarikan pertandingan Juara Karaoke Metro, gusti lengan dan 'Battle of The Band' yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 5:01 AM