Antara penagih dadah yang ditahan. - Foto ASRIZAL ARIS
Asrizal Aris
am@hmetro.com.my


Kampar : Seramai 30 penagih termasuk empat wanita ditahan dalam operasi bersepadu mengesan dan menangkap penagih dadah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kampar di sekitar Kampar dan Gopeng di sini, petang tadi.

Dalam operasi bermula jam 10 pagi hingga 5 petang itu, 26 yang ditahan termasuk empat wanita, didapati positif dadah pelbagai jenis manakala empat lagi menunjukkan keputusan negatif selepas melalui saringan ujian air kencing peringkat awal.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Perak, Mokhtarudin Mohamad berkata, operasi membabitkan 25 pegawai dan anggota itu dilakukan selepas risikan selama seminggu di kawasan tertentu dengan kerjasama maklumat Ahli Jawatankuasa Kampung dan orang awam.

"Selain membuat serbuan di lokasi tumpuan ramai penagih, kami juga membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah. Hasilnya berjaya menangkap empat wanita positif dadah.

"Mereka ditahan mengikut Seksyen 61 dan 83 untuk siasatan bagi menentukan inisiatif terbaik sama ada dihantar ke pusat pemulihan atau diberi peluang dijaga ahli keluarga," katanya.

Menurutnya, antara kawasan tumpuan yang diserbu sejak pagi tadi ialah Kampung Sahom, Kampung Gunung Mesah dan sekitar pekan Kampar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 7:51 PM