PENYERANG sensasi Harimau Kumbang, Faiz Subri memenangi anugerah pemain terbaik daripada Persatuan Permain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk bulan Februari di Padang A Universiti Sains Malaysia, baru-baru ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bersedia mempertimbangkan untuk mencalonkan gol pemain Pulau Pinang Mohd Faiz Subri bagi merebut Anugerah Puskas FIFA 2016.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi satu kenyataan media selepas mereka menerima surat daripada FIFA hari ini.

Surat yang ditandatangani Pemangku Setiausaha Agung FIFA, Markus Kattner itu turut menyatakan penghargaan kepada FAM kerana menghantar surat cadangan pencalonan gol Faiz beserta salinan video gol untuk dinilai pada 20 Februari lalu.

Katner berkata, biarpun FIFA tidak boleh memberi jaminan gol berkenaan akan menjadi salah satu daripada 10 calon akhir untuk Anugerah Puskas FIFA 2016 namun ia tetap dalam pertimbangan mereka.

Sebelum ini Faiz, 29, sekelip mata menjadi tumpuan peminat bola sepak dunia selepas berjaya menjaringkan gol cukup menakjubkan menerusi sepakan percuma dari jarak kira-kira 32 meter ketika perlawanan Liga Super 2016 antara Pulau Pinang dengan Pahang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 5:18 PM