Kuala Lumpur: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) akan menjalankan operasi pemotongan bekalan air di enam kawasan di negeri itu bulan depan dan menasihatkan pengguna supaya segera menjelaskan bayaran bil air tertunggak.

Beberapa kawasan terbabit ialah Petaling, Klang/Shah Alam, Hulu Langat, Sepang, Hulu Selangor dan Sabak Bernam.

Syarikat itu dalam kenyataan, berkata pengguna yang bekalan air mereka dipotong akan dikenakan caj pemotongan RM35 dan caj penyambungan semula RM35 sebelum penyambungan semula dibuat.

Caj itu bukan denda atau penalti tetapi caj tetap perkhidmatan bagi pemotongan dan penyambungan semula bekalan air seperti diwartakan Kerajaan Selangor mengikut Enakmen Pembekalan Air 1997 iaitu Kaedah-Kaedah Bekalan Air (Bayaran) Selangor 2006 dan masih digunapakai.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi talian bebas tol Syabas di 1800885252 atau menghantar SMS dengan menaip PUSPEL dan hantar ke 39222 atau melayari Twitter dan Facebook Syabas. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 12:24 AM