TERTUDUH, Saufie Suboh, 37, diiringi polis pengiring dihadapkan ke Mahkamah Majistret 3 atas dua pertuduhan menimbulkan ketakutan dan menyebabkan kecederaan. FOTO Rasul Azli Samad
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


Melaka: Mahkamah Majistret di sini, menjatuhkan hukuman denda RM950 keatas seorang pekerja hotel atas pertuduhan menakutkan dan menampar seorang guru.

Penolong Pendaftar Analia Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Saufie Suboh, 38, sebaik tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menakutkan dengan cara menggunakan senjata iaitu cota yang menimbulkan ketakutan kepada Mohd Najib Mashkor.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menampar muka menggunakan tangan ke atas individu sama dan bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh di kantin Sekolah Kebangsaan Air Molek, di sini, pada jam kira-kira 7.45 pagi, pada 10 Mac lalu.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM450 bagi pertuduhan pertama dan RM500 bagi pertuduhan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 2:56 PM