HUAWEI MediaPad M2
HUAWEI Mate 8
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


Huawei Technologies Malaysia (Huawei) terus meneroka landskap baharu bagi segmen telefon pintar dan tabletnya menerusi pengenalan Huawei Mate 8 dan MediaPad M2 10.0 dengan ciri yang lebih premium di samping elemen pengurusan perniagaan cekap sesuai dengan keupayaan terkini.

Huawei Mate 8 boleh didapati dalam dua varian iaitu Huawei Mate 8 Standard dan Huawei Mate 8 Premium serta hadir dengan rekaan yang kukuh berasaskan logam dan turut dilengkapi dengan keupayaan pengimbas cap jari pada bahagian belakang, sekali gus bertindak sebagai pelindung keselamatan peranti berkenaan.

Bagi pengguna tegar telefon pintar yang ekstrem, Mate 8 yang dipacu oleh Android 6.0 Marsmallow memiliki prosesor paling pantas di pasaran iaitu tiga kali ganda berbanding pesaingnya dan bateri berkapasiti 4000mAh hampir sekali ganda lebih besar berbanding peneraju telefon pintar dunia.

Lebih menarik, boleh dikatakan semua spesifikasi telefon pintar premium turut dimuatkan dalam telefon pintar seberat 185 gram itu termasuk skrin FHD 6.0 inci beresolusi 1080 x 1920 piksel, kamera 16 megapiksel (MP) belakang menggunakan penderia imej Sony IMX298 dan 8MP depan.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan teknologi Super Hands-Free 3.0 yang membolehkan pengguna menggunakan operasi bebas tangan dengan jarak sehingga tiga meter dan mengenal pasti sumber bunyi dari arah yang lebih tepat.

Sementara itu, bagi mereka yang ingin tampil lebih profesional dan mudah dalam mengendalikan urusan perniagaan harian yang padat dengan pelbagai tugasan, Huawei MediaPad M2 10.0 adalah pilihan yang tepat kerana ia mempunyai fungsi pelbagai seperti perkongsian audio dan video.

Tablet premium itu juga dilengkapi empat pembesar suara dan empat amplifier kuasa selain dikonfigurasi berdasarkan khidmat nasihat pakar daripada syarikat audio terkemuka dunia iaitu Harman Kardon.

Malah, ia menawarkan kualiti yang terbaik berbanding mana-mana tablet yang berada di pasaran ketika ini. Tablet berkenaan yang turut dikenali sebagai M2 didatangkan dengan pen stylus serba canggih yang membolehkan pengguna untuk menulis, melukis dan identifkasi formula yang menyokong aspek hiburan, membuat tugasan asas di rumah mahupun di pejabat.

Menjadikannya lebih unik, ia adalah tablet Android pertama di dunia yang menyokong identifikasi tekanan cap jari dan mampu menyimpan sehingga lima cap jari selain dikuasakan dengan prosesor Hisilicon Kirin 930, Quad 2.0 GHz dan Quad 1.5GHz.

Ia turut dilengkapkan dengan kelebihan kamera belakang sehingga 13 MP dan 5 MP untuk kamera hadapan di samping paparan 10.1 inci dan bateri dengan ketahanan 6660 mAh.

INFO

HUAWEI MEDIAPAD M2

- Harga: Dari RM1,299 hingga RM1,999

- Skrin: 10.1 inci

- Audio: Harman Kardon

- Pemprosesan: Hisilicon Kirin 930, Quad 2.0 GHz dan Quad 1.5GHz

- Kamera: 13MP, 5MP (depan)

- Bateri: 6660mAh

- RAM: 2GB/3GB

- Storan: 16GB/64GB

- OS: Android 5.1 Lollipop

HUAWEI MATE S

- Harga: RM2,099 (biasa), RM2,399 (premium)

- Storan: 32GB (biasa), 64GB (premium)

- RAM: 3GB (biasa), 4GB (premium) - slor kad mikroSD

- Pemprosesan: octa core 2.3GHz Kirin 950

- Kamera: 16MP, 8MP (depan)

- Skrin: FHD 6 inci beresolusi 1080 x 1920 piksel

- Bateri: 4000mAh

- OS: Android 6.0 Marsmallow

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 11:04 AM