Anggota polis memeriksa beg berisi mayat yang dijumpai di tepi parit di Jalan Belimbing, Meru, semalam. - Foto Fail
BERNAMA

Klang: Mayat wanita disyaki dibunuh yang ditemui dalam sebuah beg pakaian di Kampung Bukit Kapar, Meru di sini, pagi semalam, mempunyai tiga kesan jerut pada leher.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Nor Omar Sappi bagaimanapun berkata, identiti mangsa berumur antara 30 hingga 40 tahun itu yang ditemui dalam beg pakaian hitam jenama Polo oleh penduduk kampung kira-kira 11.30 pagi, masih belum dikenal pasti.

"Berdasarkan hasil laporan bedah siasat, ada tiga lilitan kesan jerut dengan kain selendang manik warga ungu di leher mangsa," katanya dalam kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Beliau sebelum ini berkata, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain dan mayatnya dibuang dalam parit berkenaan.

Polis meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara bagi membuat pengecaman mayat berkenaan.

Katanya mangsa memakai baju T berwarna ungu dan berseluar panjang hitam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 10:28 PM