AHMAD Shabery melawat MyFarm Outlet.
ORANG ramai mengunjungi MyFarm Outlet.
Mohamad Hussin dan Nursyahirah Marzuki
rencana@hmetro.com.my

Pelbagai usaha dilakukan bagi membantu pengguna mendapatkan bekalan hasil pertanian berkualiti pada harga lebih menjimatkan.

Berikutan itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil inisiatif membangunkan ‘MyFarm Outlet’.

Program ini membabitkan jualan terus dari ladang dan jeti pendaratan ikan dengan menawarkan harga antara lima hingga 20 peratus lebih murah bagi komoditi seperti ayam, daging, ikan dan sayur-sayuran.

MyFarm Outlet yang pertama ini dibangunkan di Presint 7, Putrajaya selepas diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari lalu.

Pengerusi FAMA Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, Myfarm Outlet adalah kemudahan untuk masyarakat, khususnya penduduk Putrajaya mendapatkan barang keperluan pada harga berpatutan.

Beliau berkata, MyFarm Outlet dibangunkan dengan imej dan reka bentuk mesra pengguna dengan kos berpatutan menggunakan pendekatan di bawah program Projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“Penetapan harga jualan MyFarm Outlet ditentukan jabatan atau agensi bertanggungjawab mengikut komoditi jualan yang ditetapkan.

“Sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi membuat ketetapan harga setiap hari. MyFarm Outlet beroperasi mulai jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari mulai 1 Mac lalu,” katanya.

Sebelum itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek membuat lawatan ke MyFarm Outlet Putrajaya di Presint 7, Putrajaya. Hadir sama Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak dan Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Seri Hasim Ismail.

Badruddin berkata, antara barangan yang dijual di MyFarm Outlet ialah ayam dan telur, daging segar, sayur-sayuran, barangan runcit dan produk industri asas tani (IAT).

“Barangan keperluan utama seperti ayam, ikan dan sayuran ditawarkan pada harga berpatutan selaras kehendak kerajaan mengurangkan beban rakyat.

“Aktiviti ini dirancang bagi menjadikan tapak ini sebagai aktiviti hujung minggu bersama keluarga selain lokasi membeli-belah,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 10 lagi MyFarm Outlet akan dibuka di seluruh negara bagi meringankan beban rakyat khususnya di kawasan bandar.

“Antaranya di Jalan Datin Halimah, Johor Bahru, Alor Setar, Kuantan, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan, Kuala Terengganu dan Manjong, Perak.

“Selain itu, Desa Tun Razak, Kuala Lumpur; Puchong, Selangor; Simpang Empat, Perlis dan Kuching,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Faizah Jamaludin berkata, pihaknya membekalkan lebih 500 ayam super bersih (tanpa kaki, kepala dan organ dalaman) dan ayam standard pada hari pertama pembukaan MyFarm Outlet.

“Kami jual pada harga RM5.49 sekilogram (ayam standard) manakala RM9 seekor (ayam super) pada hari pertama pembukaan dan sambutan sungguh menggalakkan.

“NAFAS mengeluarkan ayam jenama Peladang yang mematuhi syariah. Dengan adanya program ini, ia dapat mengurangkan beban masyarakat mendapatkan bekalan dengan harga murah dan berpatutan,” katanya.

Tinjauan Agro Harian Metro mendapati rata-rata pengguna berpuas hati dengan harga ditawarkan di MyFarm Outlet kerana lebih murah berbanding pasar lain.

Pengunjung, Zailani Abd Rahim, 59, berkata, MyFarm Outlet memberi kemudahan kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan utama dengan harga lebih rendah.

“Saya berpuas hati dengan harga ditawarkan. Saya boleh berjimat kerana dapat membeli barang yang banyak dengan murah dan kualiti terjamin,” katanya.

Jururawat Hospital Putrajaya Zarilawati Mustaffa, 35, berkata, harga semua barangan di MyFarm Outlet berpatutan dan berada di bawah satu bumbung.

Noor Ismaliza Arshad, 44, berkata, dia akan memilih berbelanja di MyFarm Outlet Putrajaya berikutan harganya lebih murah.

Peniaga ayam, Muhammad Izzat Izhar, 26, memberi jaminan harga yang ditawarkan lebih murah sekitar lima hingga 20 peratus lebih murah berbanding pasar lain.

Menurutnya, pembeli juga boleh mendapatkan barangan berkualiti kerana setiap produk ditawarkan dikawal FAMA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 10:50 AM
Skip this ad x