Ketua Penguatkuasa KPDNKK Kedah, Sharuddin Hamzah (kiri) bersama pegawainya melihat baja bersubsidi yang dirampas dalam serbuan di Kampung Simpang Tiga, Alor Janggus. - Foto SHARUL HAFIZ ZAM
Syahid Sokri
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah rampas 317 metrik tan baja bersubsidi bernilai RM204,000 di dua gudang di Alor Janggus di sini, jam 11 pagi tadi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK negeri Shahrudin Hamzah berkata, pihaknya menyerbu gudang berkenaan selepas melakukan risikan selama sebulan hasil maklumat orang awam.

Menurutnya, baja itu dibeli daripada petani dengan harga RM15 bagi 25 kilogram sekampit.

"Pemilik gudang ini kemudian mencampur baja bersubsidi dengan baja lain sebelum dijual RM300 bagi setiap 50 kilogram.

"Baja dijual di kawasan Perak dan seluruh negara untuk digunakan bagi ladang sawit dan getah," katanya selepas serbuan itu.

Menurtnya, pemilik gudang berusia 36 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tiga tahun bagi individu dan denda tidak lebih RM2 juta bagi syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 6:11 PM