Penagih yang ditahan. FOTO Rahmat Othman
Norul Awatif Romli
awatifromli@hmetro.com.my


Pokok Sena: Penuntut kolej swasta antara 23 penagih yang ditahan bersama 17.53 gram dadah jenis heroin dalam Ops Sarang di ladang getah di Kampung Kubang Lerek, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, mereka yang ditahan berusia 23 sehingga 51 tahun termasuk seorang warga Kemboja dipercayai bekerja sebagai penoreh getah di ladang berkenaan sejak hampir 10 tahun lalu.

"Penuntut dan warga Kemboja yang ditahan masing-masing berusia 23 tahun, manakala soal siasat dijalankan mendapati penuntut terbabit belajar di sebuah kolej swasta di ibu negara dan menghisap dadah sejak empat tahun lalu.

"Siasatan awal polis mendapati kawasan berkenaan adalah ‘port’ baru untuk melepaskan gian dan aktif sejak dua minggu lalu," katanya.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 4:17 PM