BUKAN kumpulan K-Pop yang klise.
Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Bagai menyambut hero, kumpulan fenomena EXO berjaya menggamatkan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur di hadapan lebih 14,000 peminat sempena konsert EXO PLANET #2 The EXO’LuXion World Tour in Malaysia, malam kelmarin.

Sejak diperkenalkan pada 2012, ini konsert julung kali mereka di Malaysia yang semestinya paling dinantikan. Lantas, tidak hairanlah sebaik kelibat mereka muncul di pentas pada jam 8.20 malam, penonton menjerit sekuat hati.

Menyaksikan depan mata pesona kumpulan dianggotai Chanyeol, Sehun, Baekhyun, Do Kyung-soo, Zhang Yixing, Suho, Kai, Xiumin dan Chen itu, barulah menjawab persoalan mengapa mereka cukup digilai peminat.

Kumpulan berkenaan ternyata sangat bijak apabila menyentuh mengenai kesungguhan mereka di pentas. Tiada gimik pun, aura setiap anggotanya jelas mampu membuatkan penonton kagum.

Bagaimanapun, satu perkara yang pasti adalah EXO sangat cemerlang dalam bab menggoda. Gerak geri, permainan mata, bahasa tubuh dan nyanyian mereka tidak dinafikan terlalu seksi sehingga mencairkan peminatnya.

Belum lagi aksi spontan mereka di pentas yang sangat mencuit hati apabila saling mengusik sesama sendiri. Bukan sekadar menghiburkan penonton dengan nyanyian semata-mata bahkan siap berlawak lagi!

Memang tidak disangkal, kumpulan ini serba lengkap daripada pelbagai sudut dan bukannya sekadar nyanyian mahupun tarian semata-mata. Begitu juga ketampanan mereka seiring dengan bakat masing-masing.

Rasanya EXO tidak perlu lagi dibandingkan dengan kumpulan lain yang ada di Korea Selatan. Nyata sekali, mereka sudah berada pada tahap yang sukar digugat dan barangkali bukan saingan untuk pendatang baru lain.

Paling menarik perhatian adalah sisi muzikal yang menjadi antara kekuatan mereka sebenarnya. Itulah perbezaan ketara EXO dengan kumpulan pop lain kerana hala tuju mereka lebih cenderung kepada genre R&B.

R&B sendiri bukannya muzik yang mudah untuk dikuasai namun kumpulan itu nampaknya berjaya berbuat demikian. Setiap rentak pada lagu mereka sedikit sebanyak membuktikan bahawa EXO bukan tipikal K-Pop.

Juga mengagumkan apabila anggotanya bahkan sangat kuat sebenarnya apabila berdiri solo sekalipun. Bukan sekadar berkumpulan, beberapa anggotanya sempat mempamerkan sisi lain kekuatan bakat mereka.

Ia termasuk persembahan penuh mendayu tiga anggotanya iaitu Baekhyun, Do, dan Suho. Sewaktu mendendangkan My Answer, seluruh penonton terus jatuh cinta dengan kemerduan nyanyian mereka diiringi petikan piano oleh Baekhyun.

Terdahulu, Kai dan Sehun menggegarkan pentas dengan persembahan tarian kontemporari yang penuh jiwa. Kai khasnya berjaya memikat hati penonton apabila menari di pentas berair dan membasahkan dirinya.

Memang layak sangatlah mereka diberi set pentas yang gah dan penuh dengan props berwarna-warni. Persembahan mereka cukup bersatu dan saling melengkapi produksi bertaraf dunia itu.

Sememangnya daripada segi teknikal, tiada yang boleh disangkal mengenai produksi Korea. Setiap inci pentas diberi perhatian yang sangat teliti bagi memastikan ia berada pada tahap memuaskan.

Daripada pencahayaan, pentas hidraulik, pentas bertingkat hinggalah ke sistem bunyi sangat mengagumkan. Bahkan, rentak muzik setiap lagunya berdegup seiring dengan jantung setiap penonton.

Yang pasti, anggotanya tidak henti-henti memuji Malaysia khasnya peminat di sini. Bagi mereka, sokongan yang diberikan pada malam itu bakal menjadi sejarah paling manis untuk mereka semat dalam hati.

“Kami sangat gembira akhirnya dapat kembali dan menunaikan impian peminat menonton persembahan kami. Kami benar-benar suka dengan penginapan di sini dengan pemandangan yang cukup menarik. Paling penting, kamu juga adalah penonton yang paling mengagumkan!” kata mereka.

EXO juga sempat meminta penonton untuk tidak sekadar kaku terutama yang duduk di kerusi dan meminta mereka berdiri. Apa lagi, menjelang di saat akhir konsert, lagu dipersembahkan hampir semuanya berentak rancak.

Pada konsert selama lebih dua jam itu, EXO memper­sembahkan lagu hit mereka termasuk Overdose, History, El Dorado, Don’t Go, Play Boy, Baby Don’t Cry, Unknown, My Turn To Cry, The Star, Exodus, Peter Pan, XOXO, Lucky, 3.6.5, Christmas Day dan First Snow.

Tidak dilupakan, Miracles in December, Two Moons, Machine, Let Out The Best, Run, Growl, Wolf, MAMA dan sesi ‘encore’ dengan lagu Promise serta Angel.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 11:56 AM