Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Tekanan darah tinggi atau hipertensi adalah penyakit kronik yang boleh membawa kepada komplikasi teruk. Secara amnya, ia tidak mempunyai sebab yang khusus tetapi faktor seperti sejarah ahli keluarga yang mempunyai penyakit darah tinggi, obesiti, tekanan dan diabetes dikaitkan kepada punca penyakit ini.

Lebih membimbangkan apabila penghidap tekanan darah tinggi lazimnya tidak mempunyai sebarang gejala khusus yang ditunjukkan.

Presiden Persatuan Dietitian Malaysia (MDA) Profesor Dr Winnie Chee Siew Swee berkata, tekanan darah yang tinggi akan menyebabkan organ seperti jantung, otak dan ginjal didedahkan kepada tekanan tinggi kronik.

“Pendedahan kepada tekanan darah tinggi ini akan mengakibatkan komplikasi saluran darah sempit di otak dan jantung menyebabkan strok (angin ahmar) serta serangan jantung.

“Kegagalan ginjal (buah pinggang) juga boleh berlaku jika tekanan darah yang tinggi tidak dikawal. Ia boleh terjadi disebabkan faktor umur, sejarah keluarga, berat badan berlebihan atau obesiti, tidak aktif, terlalu banyak mengambil garam dalam diet, merokok dan banyak minum minuman beralkohol,” katanya.

Mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam dan diet seimbang boleh mengurangkan risiko mendapat masalah tekanan darah tinggi atau hipertensi.

Awasi pengambilan garam dan lemak

Garam diperlukan untuk mengawal keseimbangan cecair di dalam tubuh, membantu otot dan saraf berfungsi dengan sempurna serta mengekalkan tekanan darah pada tahap yang normal.

Namun, pengambilan garam dalam kehidupan seharian perlu dikawal kerana ia salah satu faktor yang boleh meningkatkan tekanan darah bagi individu yang berisiko.

Garam adalah natrium klorida dan kita perlu memberi perhatian terhadap pengambilannya dalam diet harian. Natrium klorida boleh didapati di dalam garam, kicap, sos tomato, belacan, serbuk perasa, makanan di dalam tin dan sebagainya.

Dalam sehari, kita disarankan mengambil kurang daripada 2,300 miligram (mg) atau satu sudu teh saja untuk mengekalkan kesihatan yang baik.

“Disebabkan garam juga boleh didapati secara semula jadi di dalam bahan makanan, kita hanya boleh menambah suku atau separuh sudu teh saja dalam masakan kerana ia sudah memadai.

“Justeru, pengambilan garam pada tahap yang rendah iaitu kira-kira 1,500 mg sehari disarankan kepada individu yang mempunyai tekanan darah tinggi, kencing manis atau masalah buah pinggang yang kronik.

“Biarpun kita boleh mengurangkan jumlah pengambilannya dalam masakan, jangan pandang mudah dengan garam yang terkandung di dalam makanan diproses, dikaleng (dalam tin) atau yang diawet seperti telur masin, sayur masin, ikan masin, belacan atau cencaluk,” katanya.

Ujarnya, pengambilan garam yang berlebihan akan meningkatkan kandungan air di dalam badan dan mengakibatkan:

• Tekanan darah meningkat (hipertensi).

• Jantung dan buah pinggang terpaksa bekerja dengan lebih kuat.

• Akhirnya, kedua-dua organ ini akan menjadi lemah dan seterusnya gagal berfungsi.

Selain itu, pengambilan garam yang berlebihan juga boleh meningkatkan faktor risiko kanser perut, penyumbang kepada pereputan tulang atau osteoporosis dan boleh mengakibatkan batu karang.

“Pada masa sama, kurangkan makanan yang tinggi kandungan lemak tepu, kolesterol dan lemak trans seperti daging berlemak, kulit ayam serta makanan bersantan.

“Ini kerana makanan berkenaan boleh meningkatkan kolesterol darah dan menyebabkan saluran darah mejadi sempit serta tekanan darah meningkat. Sebaiknya, tingkatkan pengambilan sayur, buah dan makanan tenusu rendah lemak, bijian sempurna, ikan dan kekacang selain mengurangkan kekerapan makan di luar,” katanya.

Lemak adalah sumber tenaga kepada badan dan ju ga menjadi bahan penyedap dalam makanan. Lemak dalam makanan berfungsi membantu penyerapan vitamin A, D, E dan K selain membekalkan asid lemak yang penting untuk badan seperti Omega-6 serta Omega-3.

Terdapat beberapa jenis lemak iaitu lemak tepu, lemak tidak tepu dan lemak trans. Lemak tepu boleh membeku pada suhu bilik dan antara makanan yang mengandungi lemak ini ialah mentega, keju, telur, susu penuh krim, minyak kelapa serta santan kelapa.

Lemak tidak tepu pula jenis yang lembut dan mudah mencair pada suhu yang lebih rendah. Terdapat dua jenis lemak tidak tepu iaitu monotaktepu dan politaktepu.

Jenis lemak monotaktepu ialah minyak zaitun dan minyak kanola manakala lemak politaktepu seperti minyak jagung, minyak bunga matahari dan minyak kacang soya.

Lemak trans pula banyak terdapat di dalam marjerin yang keras, minyak sapi, kek, pastri dan biskut. Jika diambil secara berlebihan boleh menyebabkan berat badan bertambah dan obesiti sekali gus meningkatkan risiko penyakit jantung, strok, diabetes dan beberapa jenis kanser.

Lemak tepu dan lemak trans boleh meningkatkan tahap kolesterol darah manakala lemak tepu serta lemak trans mestilah dielakkan atau dikurangkan jumlah pengambilannya dalam diet seharian.

Panduan menyediakan makanan rendah garam dan lemak:

1. Gunakan sedikit garam dalam masakan dan elakkan menabur garam di atas makanan.

2. Kurangkan penggunaan sos tiram, cili atau tomato dan kicap serta serbuk perasa semasa menyediakan makanan.

3. Kurangkan pengambilan makanan yang diproses.

4. Gunakan perencah asli seperti jus limau dan rempah ratus.

5. Kurangkan pengambilan makanan ringan yang masin.

6. Kurangkan makanan yang diawet.

7. Baca label makanan dan elakkan membeli makanan yang kaya dengan natrium klorida dan monosodium glutamate (MSG).

8. Hadkan pengambilan garam kepada satu sudu teh (lima gram sehari).

9. Kurangkan penggunaan minyak.

10. Pilih daging atau ayam tanpa lemak.

11. Hadkan penggunaan lemak seperti marjerin, mentega, kuah salad, krim dan mayonis.

12. Gunakan santan cair atau susu rendah lemak untuk menggantikan santan pekat.

13. Elakkan menggoreng semula makanan yang sudah digoreng.

14. Gunakan tisu penyerap minyak untuk menyerap lebihan minyak pada makanan bergoreng.

15. Panggang, bakar, kukus atau gunakan ketuhar gelombang mikro untuk menyediakan makanan.

16. Buang lapisan minyak atau lemak yang kelihatan di permukaan sup dan kuah.

Antara makanan yang tinggi kandungan garam:

1. Bahan perasa. Misalnya, kicap, sos tomato, sos cili, sos tiram, taucu, MSG, kiub perasa, perencah makanan segera, mayonis dan kuah salad.

2. Makanan diproses. Misalnya, makanan dalam tin (sardin, tuna, sup cendawan dan kacang panggang), sosej, keju, makanan segera, keropok, papadam dan kacang bergaram.

3. Makanan yang diawet dengan garam seperti ikan bilis, udang kering, ikan masin, ikan pekasam, telur masin, jeruk sayur atau buah, belacan, cencaluk dan budu.

Panduan jika makan di luar:

1. Elakkan memilih masakan yang dimasak bersama ikan atau sayuran masin serta makanan dalam tin.

2. Pilih nasi putih.

3. Minta kurangkan jumlah garam atau MSG.

Antara contoh menu yang boleh dicuba oleh pesakit ialah:

1. Sarapan

• Oat susu atau sandwic telur dengan roti mil penuh.

• Epal.

• Teh atau kopi bersama susu rendah lemak.

2. Makan tengah hari

• Nasi putih.

• Ayam masak lada hitam, ayam masak sos lemon, ikan stim atau sup tom yam.

• Salad buah

• Sayur tumis air

3. Snek

• Popia basah atau buah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 11:04 AM