GEMBIRA mengikuti ceramah Dr Mohd Fadzilah.
Fatin Farhana Japre
rencana@hmetro.com.my

Dalam usaha meningkatkan prestasi sekolah dan kecemerlangan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sekolah Kebangsaan (SK) Sentul (1), menganjurkan program motivasi kepada murid dan ibu bapa tahun enam, minggu lalu.

Seramai 199 calon UPSR dan 100 ibu bapa hadir pada program motivasi yang diadakan di Dewan Sri Perdana sekolah berkenaan bagi menjayakan misi meningkatkan kecemerlangan dan memberi anjakan paradigma kepada murid supaya lebih bersedia menghadapi peperiksaan, tidak lama lagi.

Program kerjasama guru, murid, Kelab Bimbingan dan Kaunseling serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) itu mendapat sambutan menggalakkan.

Guru Besar Shafiei Mohd Nor berkata, program itu diharap mampu memberi perubahan besar kepada murid dari segi tingkah laku dan minda agar lebih positif dalam pelajaran.

“Program ini bertujuan mencetuskan kesedaran mengenai peranan dan tanggungjawab mereka sebagai murid.

“Ia diharap mampu meniupkan semangat untuk belajar serta bertekad lulus dengan cemerlang. Semoga ia menjadi platform kepada mereka untuk mengubah tingkah laku bagi menghadapi UPSR selain bersedia berdepan perubahan format berikutan penambahan subjek Bahasa Inggeris Penulisan,” katanya.

Perkongsian pelbagai input yang disampaikan pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah juga diharap mampu menggerakkan minda murid menjana kecemerlangan, mencapai matlamat menjadi sekolah terbaik tahun ini dan taat kepada guru serta ibu bapa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 10:49 AM