Petaling Jaya: Mass Rapid Transit Corp (MRT Corp) sudah membelanjakan sejumlah RM9.7 bilion bagi projek MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan 1) setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, peruntukan RM23 bilion bagi projek Laluan 1 diberikan oleh kerajaan secara berperingkat dan bukan bayaran berbentuk sekali gus.

“Projek yang dibiayai kerajaan yang dijangka siap menjelang Julai 2017 berjalan secara berperingkat dan diberi tempoh untuk disiapkan, peruntukan akan digunakan sepenuhnya,” katanya pada taklimat media mengenai kemajuan projek MRT di sini, semalam.

Setakat ini, katanya, 78 pakej kerja bernilai RM21.02 bilion diberikan kepada kontraktor dengan tujuh lagi projek belum diberikan.

“Lima daripada tujuh projek ini bernilai RM250 juta. Syarikat bagi pakej berkenaan sudah disenarai pendek.

“Pembinaan projek Laluan 1 ini siap 55.21 peratus setakat 31 Oktober 2014 dan pada tahap ini, kami yakin untuk mencapai sasaran bagi keseluruhan laluan berkenaan untuk beroperasi pada Julai 2017,” katanya sambil menambah bahawa 53 peratus daripada landasan laluan atas sudah siap.

Beliau berkata, pakej kerja bawah tanah, yang meliputi pembinaan stesen bawah tanah dan terowong 70 peratus siap.

Azhar berkata, syarikat sedang memasang tiga tren di pusat pemasangan tren kontraktor di Hulu Selangor dan akan menghantar tren-tren itu ke depoh Sungai Buloh tidak lama lagi, yang dibina di kawasan seluas 73 hektar, bagi ujian dinamik. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 8:45 AM