Mohd Razlan Salleh dan Recqueal Raimi
hmkk@hmetro.com.my


Tuaran: “Ketika kami pulang, sebuah bot dari arah bertentangan bertembung dengan kami. Kedua-dua bot tiada lampu dan itu yang saya ingat,” kata Makjin Tuein, 42, yang terselamat dalam kejadian bot berlanggar di Sungai Serusop, di sini, malam tadi.

Kejadian pada 10.30 malam itu menyebabkan enam penumpang bot terkorban akibat lemas, manakala 24 lagi selamat.

Manga yang terkorban lima wanita dan seorang lelaki. Mereka dikenal pasti sebagai Salumal Maid, 46, Nurqaseh Salim, 5, Jiah Maidin, 23, Ainul Hahnam Ajaran, 30, Nurul Hazda Husin, 20, dan Wong Vun Chong, 47.

Makjin berkata, Vun Chong adalah rakan karibnya dan kehilangannya amat dirasai.

Sementara itu, polis tidak menolak kemungkinan kejadian berkenaan berpunca daripada cuaca gelap, bot tiada lampu dan lebih muatan selain semua penumpang tidak memakai jaket keselamatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tuaran Asisten Superintendan Raji Hussin Suhodin berkata, siasatan awal mendapati, kejadian membabitkan 30 penumpang terdiri daripada penduduk tempatan.

"Sebuah bot membawa 10 penumpang bertembung bot membawa 20 penumpang di sungai Serusop menyebabkan kedua-duanya terbalik," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, pagi tadi.

Menurut Raji, bot dari jeti Kampung Serusop membawa 20 penumpang manakala sebuah bot dari jeti Kampung Penimbawan membawa 10 penumpang.

"Bot membawa 20 penumpang dikatakan dalam perjalanan menghadiri majlis kenduri di Kampung Penimbawan.

"Lima mangsa ditemui lemas di tempat kejadian manakala mangsa keenam dijumpai terapung kira-kira 60 meter dari jeti Kampung Serusup pada jam 8.35 pagi tadi," katanya.

Raji berkata, semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuaran untuk bedah siasat manakala mereka yang terselamat juga dihantar ke hospital sama untuk dirawat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2016 @ 1:11 PM
Mayat salah seorang mangsa, Ainol dibawa keluar oleh saudara-maranya dari Unit Forensik Hospital Tuaran selepas dibedah siasat, untuk dibawa pulang. FOTO Lano Lan