KEUNIKAN dasar laut Miri.
TERUMBU batu karang unik di dasar laut.
ANEKA terumbu batu karang.
Oleh Abd Rahman Adam dan Suliati Asri

Ada apa di Taman Negara Marin Miri-Sibuti? Mungkin itulah pertanyaan yang terpacul dari mulut penggemar aktiviti selam skuba mengenai kewujudan destinasi tapak selaman itu di Bumi Kenyalang.

Mana tidaknya, rata-rata penyelam skuba tidak begitu mengetahui lokasi selaman di Taman Negara Marin Miri-Sibuti yang mempunyai banyak lokasi terumbu karang cantik.

Kebanyakan kaki selam skuba juga lebih tertumpu melakukan aktiviti kegemaran mereka itu di pantai timur Semenanjung atau Sabah.

Perairan Miri ini mungkin tidak setanding Pulau Sipadan di Sabah, tetapi lokasi selam skuba yang ditawarkan tidak lokek dengan kekayaan khazanah laut berbanding pulau lain di negara ini.

Berbanding destinasi selam skuba lain, ramai masih tidak tahu kewujudannya walaupun lokasi selaman ini memiliki 30 tapak selaman.

Lebih menarik, terumbu karang dan spesies hidupan laut di perairan itu masih belum diterokai sepenuhnya.

Justeru, ia pastinya memberikan pengalaman berbeza kepada penyelam skuba yang mahukan kelainan.

Kepelbagaian dan kemudahan akses untuk melihat sendiri keindahan terumbu karang dan hidupan laut di sini menjadikannya antara lokasi yang terbaik di rantau ini.

Terumbu lembut dan keras yang menghiasi dasar laut dengan koleksi gorgonians, sea-whips, anemones, sponges dan crinoids yang di perairan ini nyata menakjubkan.

Angel fish, ikan bagang, delah, kerapu, pari, trigger fish, ikan bayan dan wrasses adalah antara pelbagai spesies hidupan laut yang boleh ditemui di sini dan dilaporkan penemuan lebih daripada 40 spesies nudibrankia dicatat.

Khazanah laut yang disajikan di perairan Miri cukup mempesona dan pasti memberikan keterujaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Justeru, diuar-uarkan keindahan dasar laut yang dimiliki di perairan Miri ini serta memperkenalkan lokasi ini kepada penggemar aktiviti selam skuba, Tourism Malaysia mengadakan program 'Sarawak Dive Adventure', baru-baru ini.

Program yang disertai 30 peserta membabitkan media, penyelam berpengalaman dan operator pelancongan di perairan Miri ini membawa peserta menerokai kawasan selaman yang sememangnya menjanjikan keindahan dasar laut yang mempesona.

Sepanjang program, peserta bukan saja didedahkan mengenai tarikan tapak selaman di perairan Miri, tetapi peluang menyelam di beberapa tapak selaman terpilih sepanjang program berlangsung.

Penyelam berpengalaman, Clement Lee, 62, berkata, perairan Miri termasuk lain-lain lokasi selaman di Sarawak sudah lama wujud, namun hanya kebelakangan ini ia mendapat perhatian.

Menurutnya, kawasan ini berpotensi menjadi destinasi popular kepada penggemar aktiviti selam skuba, lebih-lebih lagi ia mempunyai lokasi terumbu karang yang 'sihat', selain keunikan hidupan lautnya terutama membabitkan spesies mikro.

"Rangkaian batu karang di Miri adalah khazanah alam semula jadi yang bebas daripada aktiviti pencemaran manusia dan banyak lagi hidupan lautnya yang masih belum diteroka," katanya.

Tapak selaman di Miri ini adalah destinasi terawal di Sarawak yang dikenal pasti untuk aktiviti selam skuba selain di perairan Kuching.

Menariknya, terdapat spesies mikro diperairan Miri ini yang boleh ditemui dan ada antaranya sukar ditemui di tempat lain.

Tapak selam skuba yang paling dekat dengan pantai Miri ialah Eve's Garden, Azam's Reff, Seafan Garden, Anemone Garden, Hatano Point, Sunday, Siwa, Tusan, Lakim, Atagomaru Wreck, New Reef V dan Siwa Oil Rigs.

Tempat lain yang boleh diterokai termauklah Pelantar Minyak Tukau, Barracuda Point, Sri Gadong Wreck, Beting Niah, Batu Butik, Berabok Bubble, Gorgonian Paradise, Santak Point, Robert's Reef dan Batu Tar.

Jarak penglihatan dalam air antara 10 sehingga 30 meter dan musim yang terbaik untuk mengunjungi destinasi selaman ini pada Mac hingga September dan November.

Selain kawasan menyelam semula jadi, perairan ini turut menghidangkan tapak selaman kapal karam dan tukun tiruan.

Tapak selaman tukun tiruan iaitu Kenyalang Wreck adalah salah satu lokasi tercantik di perairan ini dan ia dibangunkan tujuh tahun lalu melalui usaha sama antara Shell dan PETRONAS.

Ismadi Ismail, 38, dari Dive Serantau berkata, perairan Miri sesuai dijadikan kunjungan alternatif kepada penggiat aktiviti selam skuba sekiranya inginkan kelainan.

"Biasanya, ketika musim tengkujuh di pantai timur Semenanjung, penyelam skuba beralih ke Sabah untuk melakukan selaman.

"Kini, tiba masanya penggemar aktiviti menyelam mempertimbangkan untuk menyelam di Miri dan Kuching," katanya.

Menceritakan pengalaman melakukan selam skuba di Miri, Ismadi berkata, perancangan cukup penting sebelum membuat selaman memandangkan jarak penglihatan yang boleh berubah dalam sekelip mata bergantung kepada cuaca.

"Ia penting terutama kepada jurugambar dasar laut yang mahu merakamkan gambar landskap dan pemandangan laut, jarak penglihatan yang terhad menyukarkan

rakaman gambar diambil.

"Namun, jika jurugambar merancang mengambil gambar spesies mikro, ia tidak menjadi masalah, tambahan pula perairan Miri memiliki variasi spesies 'nudibranch' yang menarik," katanya.

Sempena Tahun Melawat Malaysia kali ini, Tourism Malaysia menawarkan pakej menarik untuk penyelam skuba berkunjung ke perairan ini termasuk di Kuching.

Pengunjung berpeluang memilih sama ada pakej selaman di kawasan kapal karam di Kuching atau pakej di Miri.

Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, pihaknya bekerjasama dengan operator pelancongan tempatan untuk memastikan Sarawak menjadi antara destinasi utama selam skuba di negara ini.

"Tahun lalu, lebih 800,000 pengunjung ke Taman Laut dan 300,000 daripada mereka adalah penyelam skuba.

"Saya percaya pakej selaman di Sarawak yang ditawarkan pada harga RM748 sehingga RM2,400 menjadi tarikan kepada penyelam scuba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 3:04 AM