RYZAL.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Biarpun industri dibanjiri pendatang baru, pelakon Ryzal Jaafar sedikit pun tidak tergugat sebaliknya sentiasa positif memacu kariernya.

Jika pada awal kemunculan dia sering dilambak watak protagonis, kebelakangan ini Ryzal menyerlah dengan karakter gelap.

Malah dapat dilihat persembahan berkesannya dalam beberapa drama antaranya Bangkitnya Seorang Perempuan dan Aku Pilih Kamu berjaya membuatkan penonton benci sehingga terbawa-bawa di luar cerita.

Tidak mahu terlalu memilih watak, Ryzal yakin setiap tawaran yang disambutnya mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Awal pembabitan saya banyak dapat watak baik tetapi sekarang lebih kerap melakonkan karakter antagonis.

“Saya tidak minta watak seperti ini tetapi pemilihan dibuat stesen TV. Mungkin mereka mahu beri peluang watak seperti ini kerana setiap karakter itu pemilihan dibuat oleh stesen TV. Mungkin mereka mahu beri peluang kepada saya untuk cuba karakter gelap pula.

“Pasti ada sebab mengapa mereka berbuat demikian. Sebagai pelakon apa salahnya saya mencuba. Tak sangka lakonan saya meninggalkan kesan di hati penonton hingga ada yang bencikan saya.

“Mereka marah di Instagram saya sehingga ada yang mahu bakar dan menggunting rambut saya,” katanya.

Ryzal mengakui tidak sedikit pun terkilan dengan reaksi agresif peminat sebaliknya bangga kerana lakonannya berjaya.

“Mula-mula rasa tidak selesa juga melakonkan watak antagonis, tetapi apabila berjaya buat peminat benci, rasa seronok pula. Bukan semua tak suka, ada juga yang puji dan faham itu hanyalah lakonan.

“Mulanya rasa rimas juga dengan komen yang diberikan, tetapi apabila dengar nasihat rakan saya boleh terima keadaan itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, drama bersiri lakonan Ryzal berjudul Mr Tanda Soal bakal menemui penonton di TV3 pada Ramadan ini.

Menerusi drama berkenaan, sekali lagi Ryzal diberikan watak antagonis dan lelaki kasanova bernama Hairi.

“Ini adalah watak antagonis keempat lakonan saya. Diharap peminat dapat terima dan terus menyokong saya,” katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 11:35 AM