ALESSIA jadikan YouTube platform perbaiki diri.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Setiap tahun akan muncul pendatang baru dalam arena muzik. Dalam kalangan mereka, ramai juga yang berjaya menarik perhatian dunia antaranya Adele, Sam Smith, Lorde dan ramai lagi.

Kini, penyanyi dari Kanada, Alessia Cara mula mengikut jejak mereka.

Masih mentah dalam arena muzik, penyanyi berusia 19 tahun ini bagaimanapun membuka mata ramai pihak berikutan bakat besarnya dalam penulisan lagu.

Jika diamati betul-betul, karyanya sangat mendalam dan ada jiwa.

Popular menerusi lagu Wild Things ketika ini, Alessia sendiri sebenarnya tidak menyangka dia akan menakluk pentas suatu hari nanti.

Ketika berusia 13 tahun, penyanyi senegara Justin Bieber memberikan inspirasi buat Alessia mengejar impiannya.

“Sewaktu kanak-kanak, saya seorang yang sangat pemalu dan lebih rela terperap dalam bilik berjam-jam lamanya. Apatah lagi nak buat persembahan di khalayak ramai.

“Namun, ketika berusia 13 tahun, saya beranikan diri untuk memuat naik video nyanyian di YouTube selepas mendapat inspirasi daripada Justin Bieber. Kebanyakan lagu yang saya nyanyikan lebih kepada ‘cover version’ lagu-lagu hit terkini,” katanya.

Dengan cara itu, dia lebih yakin memperdengarkan suaranya tanpa perlu naik ke pentas. Tanpa ada niat langsung untuk menjadi popular, dia menjadikan platform itu sebagai tempatnya memperbaiki diri.

“Niat saya bukan untuk menjadi terkenal ketika itu. Saya cuma mahu orang dengar nyanyian saya dan tawarkan kritikan yang konstruktif,” katanya.

Dalam pada memuja ramai penyanyi baru yang sedang mendominasi pasaran muzik sekarang, Alessia ternyata ada artis pujaannya sendiri iaitu Amy Winehouse.

Malah, dia menggantung poster mendiang Winehouse di biliknya.

Menurutnya, dia mahu menjadi seperti idolanya itu.

“Sebagai seorang artis, dia benar-benar berjaya membuatkan orang jatuh cinta hanya dengan menyanyi menggunakan gitar dan cukup bersahaja.

“Begitulah yang saya mahu lakukan di mana saya ingin betul-betul sampaikan muzik itu ke dalam hati semua. Saya mahu mereka boleh kaitkan diri dengan lirik-lirik serta nyanyian saya itu,” katanya.

Di samping itu, Alessia juga mahu memperjuangkan hak wanita lebih-lebih lagi dia juga menjadi mangsa buli, baru-baru ini.

“Saya mahu bercakap bagi pihak remaja wanita kerana saya rasa kami sentiasa menjadi mangsa kritikan dalam kehidupan seharian. Kami dikawal dari segi pemikiran dan penampilan.

“Baru-baru ini, saya dikecam hanya kerana tidak mengenakan gaun sewaktu satu persembahan tahun baru. Amat menyedihkan kerana saya disifatkan berpenampilan seperti gelandangan. Apa kaitan cara pemakaian saya dengan persembahan?” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 10:30 AM