Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa. FOTO Khalid Latip
Khalid Latip
am@hmetro.com.my


Sarikei: Dua beranak maut apabila kereta yang dinaiki bertembung dengan bas di simpang Bayong, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 5 petang itu, Sabariah Raffie, berusia lingkungan 20-an dan ibunya Nonadiah Dawi, 65 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Rafiee Semawi, 68 yang memandu kereta parah dan kini dirawat di Hospital Sarikei.

Ketua Balai Bomba Sarikei Suna Kaha berkata, bas Jabatan Latihan Khidmat Negara itu membawa pelajar Kolej Vokasional Miri dalam perjalanan ke Kuching untuk menyertai kejohanan bola sepak.

Katanya, kereta yang dinaiki tiga beranak itu dalam perjalanan dari Selalang ke Sarikei.

"Menurut saksi, kereta itu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum dirempuh bas.

"Seorang mangsa, Nonadiah tersepit di tempat penumpang depan dan bomba mengambil masa lebih setengah jam untuk mengeluarkan mangsa," katanya.

Katanya, sepasukan bomba terdiri daripada lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 5.03 petang.

Mayat mangsa dihantar ke rumah mayat Hospital Sarikei dan kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Penumpang dan pemandu bas tidak cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 9:21 PM