Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Tanggal 5 Mac lalu genap sebulan usia perkahwinan pasangan penyanyi, Ummu Syaikhah Stacy Anam atau Stacy, 26, dan Akim Ahmad, 25.

Menurut Stacy, tanggungjawab sebagai isteri memberi satu lagi cabaran baru untuknya dalam menjalani kehidupan berumah tangga.

“Memandangkan saya baru berkahwin, banyak perkara perlu dipelajari. Hidup berumah tangga memang seronok.

“Tentu saja tanggungjawab sebagai isteri sangat besar. Saya tidak boleh lagi bersikap seperti dulu malah suami menjadi keutamaan saya,” katanya.

Sambung Stacy, sejak berkahwin dengan vokalis Kumpulan Akim & Majistret itu, dia mula belajar memasak juadah Melayu.

Malah, Stacy tidak malu mendapatkan resipi daripada ibu mentuanya.

“Walaupun sudah lama menetap di Kuala Lumpur, saya belum mahir masak masakan Melayu. Sebelum ini saya lebih gemar memasak juadah yang ringkas.

“Kini saya tidak boleh ikut selera sendiri. Saya berusaha belajar masakan Melayu seperti asam pedas, masak lemak dan banyak lagi.

“Kebetulan juadah itu kegemaran Akim. Jika dia ada permintaan lain, saya akan minta resipi daripada ibu mentua,” katanya.

Sementara itu, Akim memuji kesungguhan dan keikhlasan Stacy menyediakan juadah untuknya.

Walaupun belum mahir sepenuhnya, sikap yang ditunjukkan Stacy membuatkan dia semakin sayang isterinya itu.

“Sejak berkahwin saya sudah rasa air tangannya. Saya bangga melihat kesungguhan dan keikhlasannya belajar memasak.

“Apa saya boleh katakan, percubaan Stacy sentiasa menjadi. Sehinggakan setiap kali habis kerja saya pasti bergegas pulang ke rumah untuk makan masakannya,” kata Akim yang mahu Stacy belajar cara menyediakan kuih tradisional selepas ini.

Mahu segera timang cahaya mata

Apabila mendirikan rumah tangga, pasti tidak dapat lari daripada pertanyaan mengenai zuriat. Dalam soal ini, Akim berkata dia tidak mahu tergesa-gesa dan berserah kepada rezeki.

“Buat masa ini kami masih berusaha dan berdoa. Ikutkan saya dan Stacy mahu segera dapat cahaya mata tetapi kena berpegang juga pada ketentuan Ilahi.

“Lambat atau cepat, itu semua rezeki. Siapa yang tak mahu anak cepat tetapi kami tak mahu terlalu memikirkan perkara itu.

“Insya-Allah ada rezeki, adalah,” katanya.

Ketika ini Akim dan Stacy sedang berbulan madu di Pulau Pinang sejak Isnin lalu.

Selepas itu, mereka akan ke Bali esok diikuti beberapa destinasi percutian terkenal dalam negara.

“Selepas berkahwin, saya masih sibuk dengan program Mentor Milenia. Jadi belum sempat bawa isteri bercuti.

“Apabila semuanya sudah selesai, kami dapat merancang percutian dengan tenang. Seronok dapat meluangkan masa bersama isteri tersayang,” katanya yang turut membawa Bella.

Menurut Akim, hasrat bercuti ke Eropah belum dapat diputuskan kerana dia dan Stacy terikat dengan beberapa persembahan besar.

Berkenaan kerjaya seni, Akim menjelaskan dia dan Stacy sudah ada komitmen.

“Buat masa ini belum ada perancangan bergabung. Saya akan tetap bersama band, begitu juga dengannya.

“Bagaimanapun, kami tidak menolak sekiranya ada permintaan kami berduet,” katanya.

Akim & The Majistret giat mempromosikan single Obses manakala Stacy tampil dengan lagu baru ciptaan suaminya berjudul Romeo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 7:56 AM