HIPPO Village lokasi mandi-manda sekeluarga.
JUNGLE Fury memberi keseronokan berganda buat semua.
WONDER Step ke SpongeBob Splash Adventure memberikan pengalaman menarik.
KUBARANGO yang menggerunkan tetapi mesti dicuba.
Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Kiraan 3, 2, 1! sudah cukup mendebarkan. Dengan mata dipejam rapat kerana terlalu gementar, tanpa disedari tubuh sudah meluncur dengan kelajuan 60 kilometer sejam dalam tempoh tak sampai dua saat.

Jeritan yang dilaungkan sudah cukup menggambarkan ketakutan yang disulami keseronokan sehinggalah tubuh berhenti meluncur sebelum disambut dengan percikan air.

Menambahkan lagi keseronokan, meluncur di dalam gelung menuruni bukit dan selekoh yang tidak tahu di mana penghujungnya membuatkan diri makin sukar untuk menggambarkan apa yang dirasai ketika itu.

Itulah yang bakal anda rasai saat mencuba sendiri Monsoon 360 dan Cobra Creek, antara aktiviti mengujakan di Nickelodeon Lost Lagoon, satu lagi taman tema kreatif di Sunway Lagoon.

Menjadi taman tema Nickelodeon pertama di Asia, Nickelodeon Lost Lagoon hasil kerjasama strategik dengan Viacom International Media Networks Asia.

Berada di tengah-tengah kawasan hutan hujan yang subur seluas 4.047 hektar, Neckelodeon Lost Lagoon menawarkan lebih 12 permainan dan tarikan untuk semua peringkat umur.

Persis berada di kawasan yang cukup jauh dari kesibukan kota, tapak Neckelodeon Lost Lagoon bagaikan tersembunyi di Sunway Lagoon.

Ia menjanjikan pengalaman menyeronokkan apabila menawarkan kawasan permainan interaktif dengan penggunaan teknologi terkini, pelbagai tunggangan gelongsor air dan banyak lagi.

Kemunculan watak ikonik Nickelodeon seperti SpongeBob SquarePants, Dora The Explorer dan Teenage Mutant Ninja Turtles pasti membuatkan si kecil pulang dengan senyuman.

Memulakan penerokaan dengan mendaki ‘Wonder Steps’ yang ditemani deruan air terjun di tengah perjalanan bagaikan menyanyi riang menyambut kedatangan pengunjung ke empayar yang ‘hilang’ ini.

Tangga yang dihiasi dengan tiang nanas membawa anda ke SpongeBob Splash Adventure untuk si kecil bermain air.

Kanak-kanak pasti seronok menjelajah di kawasan ini yang dilengkapi meriam air, air terjun dan gelongsor air. Sebaik air penuh, simbahan ‘Great Slime Deluge’ menambah keterujaan mereka.

Splish Splash iaitu semburan air interaktif juga tidak kurang menarik. Kesan semburan air seperti jet dan kubu menceriakan suasana untuk kanak-kanak bermain.

Begitupun, Nickelodeon Lost Lagoon adil dalam mencetuskan keseronokan kepada pengunjung semua peringkat usia.

Menerusi Moolalah Adventure River, anda berpeluang menyusuri gelongsor terbuka untuk menikmati pengembaraan mendebarkan saat aliran air bergelora, berpusar dan percikan.

Menentang graviti de­ngan tunggangan Cobra Creek, Boa Constrictor dan Crocodile Gully ternyata menggerunkan tetapi memberikan keseronokan yang tidak tergambar dengan kata-kata. Lebih menarik, tiga tunggangan ini boleh dirasai semua peringkat umur.

Bagi menguji kekuatan mental dan fizikal ketika bermain air, Monson 360 dengan kelajuan sehingga 60 kilometer sejam dalam tempoh dua saat dan Coaster Wild Chase yang berpusing berselang-seli dengan pokok membuatkan anda kehilangan kata-kata.

Ingin bersama ahli keluarga dan sama-sama merasai keseronokan? Anda boleh menaiki rakit Jungle Fury yang membawa anda sekeluarga menyusuri laluan yang menyajikan pe­ngalaman kejutan, berpusing dan gelak ketawa.

Selain itu, Hippo Valley juga menyediakan aktiviti riadah yang dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan.

Meskipun memfokuskan kepada permainan air, Nickelodeon Lost Lagoon turut mencetuskan suasana damai dengan mengekalkan keindahan pokok menghijau.

Jika kebanyakan taman tema menebang keba­nyakan pokok untuk kerja pembangunan, di sini berbeza. Semua pokok dikekalkan untuk memberikan suasana nyaman, sesuai dengan konsep ‘Lost Lagoon’.

Bagi menambahkan keceriaan kanak-kanak, karakter kartun Nickoledeon, penampilan khas watak ikonik Nickelodeon iaitu SpongeBob SquarePants, Dora Explorer dan Teenage Mutant Ninja Turtles menanti untuk menghiburkan mereka.

Ruang rehat di Explorer’s Campsite pula menjadi lokasi terbaik untuk berkelah bersama keluarga.

Jika masih merancang percutian sempena cuti sekolah ini, kunjungan ke Nickelodeon Lost Lagoon dan tarikan lain di Sunway Lagoon pastinya pilihan tepat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 6:29 AM