RAWATAN wajah, urut badan, sauna dan rambut boleh dilakukan dua atau tiga minggu sebelum majlis berlangsung.
NOR HIDAYAWATI turut menyediakan busana untuk mempelai.
RAWATAN wajah mengembalikan kesegaran.
Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Menjadi raja sehari serba-serbinya perlu sempurna dari hujung rambut hingga kaki. Bukan setakat memilih busana pilihan serta solekan diperlukan, tetapi dalaman juga harus diberi perhatian.

Melakukan rawatan wajah serta badan dari hujung rambut hingga kaki salah satu perkara yang harus diberi penekanan oleh raja sehari. Ini kerana dalam masa membuat persiapan sebelum menjelang majlis perkahwinan biasanya bakal mempelai lupa menjaga kesihatan mereka.

Akibatnya kulit menjadi kusam dan kurang bermaya. Badan mudah letih dan cepat mengantuk. Apabila ini berlaku solekan yang diharapkan menutup cela serta mengembalikan kesegaran wajah tidak mencapai tujuan. Apa yang perlu dilakukan membuat rawatan tiga atau empat kali sebelum tibanya tarikh hari bahagia bagi memulihkan kecantikan dalaman.

Menurut pemilik Aura Linda Bridal & Spa Nor Hidayawati Jaafar, pada mulanya dia hanya membuka butik perkahwinan di Bandar Baru Bangi, tetapi memikirkan keperluan bakal mempelai terutama pengisian untuk baik pulih kecantikan dalaman dia membuka spa di dalam butik yang sama.

Dengan cara ini mempelai bukan saja mendapat harga istimewa untuk busana sebaliknya dapat melengkapi keperluan dengan memanjakan diri di spa.

“Saya sedar kebanyakan wanita membuat persediaan pada saat-saat akhir. Akibatnya ada yang tertekan tidak sempat membelai wajah dan badan di spa disebabkan kesuntukan masa. Namun mereka tidak tahu akibatnya pada hari bahagia wajah menjadi kusam dan tidak bermaya walaupun dihiasi solekan. Di sinilah pentingnya spa untuk merawat wajah dan badan agar tampak berseri apabila bersanding,” katanya.

Untuk mempelai antara yang ditekankan ialah rawatan wajah, urut badan, sauna dan rambut yang boleh dilakukan dua atau tiga minggu sebelum majlis berlangsung. Dilakukan pakar terapi terlatih urut badan memberikan kesegaran disebabkan perjalanan darah menjadi lebih lancar. Urutan menggunakan minyak aromaterapi memberikan ketenangan berpanjangan.

Ini kerana menerusi urutan, urat ditekan secara lembut dan secara tidak langsung darah dapat mengalir dengan lebih lancar. Pengaliran darah yang baik akan memberikan ketenangan pada mempelai sekali gus menyihatkan tubuh.

“Jika urutan ini dilakukan dua atau tiga kali sebelum majlis berlangsung, keserian wajah dapat dilihat apabila aliran darah menjadi lebih lancar. Biasanya urutan dijalankan selama 30 hingga 45 minit dan boleh dilakukan seminggu sekali,” katanya.

Untuk mendapatkan kesan yang lebih mempelai digalakkan melakukan sauna yang berfungsi membakar lemak dan menurunkan berat badan secara tradisional, me­nyegarkan tubuh badan, meng­gantikan aktiviti joging atau bersenam dan membuang toksik badan melalui peluh.

“Mempelai yang masuk ke dalam bilik sauna selama 15 hingga 20 minit mendapati peluh keluar dengan banyak. Liang roma juga mudah terbuka dan dengan ini memudahkan terapi membuat rawatan wajah. Namun sebelum bersauna individu digalakkan minum air suam dengan banyak bagi mengelak kekeringan,” katanya

Antara punca masalah kulit disebabkan pendedahan kepada habuk, cahaya matahari serta tekanan yang menyebabkan hormon kurang stabil. Ditambah pula apabila persiapan dilakukan pada saat akhir menjadikan pengantin mudah cemas. Akibatnya muncul jerawat halus yang memerlukan rawatan rapi agar ia tidak menjadi jerawat batu. Jika berjerawat dan berparut akan menyukarkan lagi untuk merawatnya.

Memudahkan mempelai yang ingin mendapat­kan semua pakej di dalam satu tempat, selain spa, Nor Hidayawati turut menyediakan busana pengantin, pelamin dan juga solekan untuk raja sehari. Dengan itu mereka tidak perlu ke tempat lain untuk mendapatkan busana idaman mereka. Busana disediakan berkonsepkan moden kontemporari dengan sedikit sentuhan tradisional menerusi songket digabungkan dengan renda.

“Di sini kami menyediakan busana moden serta tradisional khas untuk mempelai pada harga yang sangat berpatutan. Dengan menyediakan solekan, pelamin dan busana, mempelai tidak perlu ke tempat lain sekali menjimatkan kos,” katanya yang turut membuka francais Smart Reader Kids di Bandar Baru Bangi dan kini mempunyai sembilan cawangan.

Walaupun sibuk setiap hari menguruskan cawa­ngan Smart Reader Kids, namun dia mempunyai masa menjenguk ke butik pada setiap petang.

Jelasnya, perniagaan ini tidak memerlukannya setiap hari berada di butik. Ini kerana pelanggan akan membuat temu janji terlebih dulu. Bagi Norhidayawati perniagaan ini memberikan sesuatu yang berbeza daripada pendidikan. Tetapi dia sangat menyukainya memandangkan kecantikan dan fesyen sememang­nya menjadi minatnya sejak dulu lagi.

“Jika ditanya bagaimana membahagikan masa, ia tidaklah terlalu sukar kerana saya mempunyai pekerja yang boleh dipercayai untuk menguruskan butik dan spa. Namun setiap petang dia pasti datang untuk melihat apa yang boleh dilakukan terutama dari segi pemasaran dan pengiklanan,” katanya.

Aura Linda Bridal & Spa dibuka setiap Selasa hingga Ahad dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Untuk maklumat lanjut boleh melayari Facebook Butik Aura Linda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 5:51 AM