JAWATANKUASA teknikal mengadakan perbincangan dengan Saharuddin (tengah) mengenai lokasi perlumbaan.

Jasin: Polis daerah ini terus memberikan komitmen dalam memastikan lokasi perlumbaan Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Asahan, Sabtu ini, selamat untuk peserta dan petugas.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya sudah membuat pemantauan bukan saja di kawasan jalan raya yang akan dilalui peserta, malah laluan trek ‘off-road’ bagi mengurangkan risiko membabitkan kenderaan melalui lokasi itu.

Katanya, pihaknya akan menempatkan pegawai dan anggota polis di pusat pemeriksaan (check point) tertentu dalam memastikan peserta selamat ketika bersaing.

“Setiap pusat pemeriksaan akan mempunyai sekurang-kurangnya dua anggota bagi memastikan tiada pengguna jalan raya membuat lintasan atau kenderaan penduduk kampung masuk ke laluan perlumbaan itu nanti.

“Kehadiran polis di kawasan ‘off-road’ penting bagi keselamatan peserta dan petugas,” katanya, semalam.

Terdahulu Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin Asisten Superintendan Mohd Saharuddin Mohd Nor bersama jawatan kuasa teknikal kejohanan membuat pemantauan di kawasan laluan perlumbaan.

Muhd Nur berkata, balai polis bergerak turut diletakkan pada hari kejohanan dan akan menjadi pusat rujukan kawalan keselamatan serta pergerakan anggota bertugas.

Katanya, bagi mengawal lalu-lintas, pihaknya menempatkan lapan anggota trafik bermotosikal dan dua kereta peronda bagi mengawal laluan kenderaan.

Laluan bagi trek kejohanan MTB ini membabitkan jarak 44 kilometer (km) bagi kategori XC Race dan Terbuka Metro (40 km) dengan Majlis Sukan Negara (MSN) Saujana Asahan menjadi tempat pelepasan dan penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 6:23 AM