PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo menamatkan sidang tergempar OIC di Jakarta kelmarin.
AFP

Jakarta: Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) kelmarin menggesa produk dari penempatan haram Yahudi di Palestin diharamkan dan berikrar memberi sokongan penuh terhadap hak tak terpisah penduduk Palestin.

Gesaan itu dibuat pada hari terakhir sidang kemuncak luar biasa OIC mengenai Israel di Jakarta yang dihadiri wakil dari 57 negara.

Antara resolusi persidangan itu adalah menggesa negara anggota dan komuniti antarabangsa mengharamkan produk yang dihasilkan di penempatan haram Yahudi dari pasaran mereka.

Bagaimanapun, gesaan itu tidak diwajibkan kepada negara OIC.

Penempatan haram itu merujuk kepada kawasan komuniti Yahudi yang dibina di lokasi yang dijajah Israel sejak 1967.

Kawasan itu menyalahi undang-undang antarabangsa dan antara penghalang utama rundingan damai Palestin dan Israel.

Antara yang menjadi pertikaian utama termasuklah penempatan haram yang dibina di satu kawasan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang dituntut Palestin sebagai sebahagian negara mereka.

Isu berkaitan barangan yang diimport dari penempatan haram berkenaan pernah mencetuskan ketegangan dengan Israel sebelum ini.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada November lalu menggantung hubungan diplomatik dengan Kesatuan Eropah (EU) mengenai rundingan damai Asia Barat selepas keputusan blok itu melabelkan produk berkenaan sebagai “Buatan Penempatan Israel” bukannya “Buatan Israel”.

Penggantungan itu berakhir pada bulan lalu apabila Netanyahu bertemu ketua dasar luar negara EU.

Pada hari terakhir persidangan itu, OIC turut berikrar untuk terus menyokong usaha politik, diplomatik dan undang-undang bagi memastikan Palestin memperoleh hak tak terpisah mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 10:14 AM