PENDUDUK tempatan berpeluang menjalankan perniagaan di lokasi kejohanan.

Jasin: Seramai 10 peniaga akan menjalankan perniagaan berhampiran Majlis Sukan Negara (MSN) Saujana Asahan, di sini, bagi memudahkan peserta menikmati juadah.

Disebabkan faktor venue kejohanan terletak agak jauh dari kawasan perniagaan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Asahan mengambil inisiatif menyediakan tapak perniagaan yang diluluskan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Pengerusi JKKK Asahan Abdul Ghani Abdullah berkata, peniaga yang membabitkan penduduk setempat akan menjual makanan kepada hampir 1,500 peserta.

“Penduduk turut diberi peluang memasarkan produk buah-buahan dan ulam tempatan bagi membolehkan peserta dari luar negeri membeli ‘cenderamata’ untuk dibawa pulang.

“Kami mendapat kerjasama MPJ yang membersihkan kawasan lapangan terbang lama bagi memudahkan peniaga mendirikan gerai sementara,” katanya, semalam..

Ghani berkata, penduduk teruja untuk mengambil peluang berniaga kerana faktor kehadiran pengunjung luar.

“Selain berniaga, kami turut menyediakan khemah tambahan bagi kemudahan peserta mendirikan solat kerana kami sedar tempat beribadah terhad,” katanya.

Sementara itu, peniaga kedai makan Ismaih Seman, 52, berkata, kebiasaannya beliau memulakan operasi jam 6 pagi bagi menyediakan sarapan kepada pekerja ladang berhampiran, bagaimanapun untuk kejohanan ini akan memulakan perniagaan sejam lebih awal.

“Pada hari pertama kejohanan saya juga akan melanjutkan perniagaan sehingga awal pagi bagi menampung permintaan mereka yang datang untuk menjamu selera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 6:22 AM