SKUAD kendalian Blanc (kanan) akan bertandang ke London awal pagi esok.
AFP

Paris: Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG) Laurent Blanc menamakan pemain tengah Marco Verratti dan Blaise Matuidi dalam skuad pemainnya yang bertandang ke London bagi aksi penting Liga Juara-Juara menentang Chelsea, awal pagi esok.

Kedua-dua Verratti dan Matuidi bergelut memulihkan kecergasan selepas masing-masing mengalami kecederaan pangkal paha dan paha.

Terdahulu Verratti mengepos foto dalam Instagram dia menyarung jersi hitam PSG bagi aksi Eropah.

Namun tidak pasti sama ada kedua-duanya akan bermain.

Selepas seri tanpa jaringan di Montpellier pada aksi Ligue 1 Sabtu lalu, Blanc enggan mengesahkan sama ada kedua-duanya akan hadir.

“Blaise amat bagus, dia mempunyai keinginan dan keupayaan untuk mengatasi kesakitan. Anda boleh bayangkan keghairahannya untuk bermain,” ujar Blanc.

Mengenai Verratti, jurulatih PSG itu berkata: “Berapa banyak masa diperlukan, seminggu, 10 hari? Kami harap dapat menyembuhkannya sepantas mungkin.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 9:46 AM