Mohamed Hassan (kanan) menerima anugerah daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Daud Vicary Abdullah di London.
myMetro

Kuala Lumpur: Syarikat Takaful Malaysia Bhd (Takaful Malaysia) meraih anugerah syarikat takaful terbaik di Malaysia untuk kali keempat berturut-turut di majlis Anugerah Takaful Antarabangsa 2016 berlangsung di London, baru-baru ini.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil berkata, pengiktirafan itu membuktikan keutuhan syarikat dalam industri serta mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju pasaran dalam menyediakan penyelesaian insurans yang ekstensif.

“Anugerah Takaful Antarabangsa 2016 yang kini berada pada tahun ke-10 mengiktiraf kecemerlangan dan pencapaian syarikat yang beroperasi dalam sektor Takaful dan Retakaful di peringkat global,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Beliau berkata, anugerah itu bukti terhadap manfaat serta nilai hebat yang diberikan secara konsisten kepada pihak berkepentingan.

“Takaful Malaysia terus memberi penekanan terhadap empat bidang teras iaitu capaian pelanggan, ketangkasan operasi, daya saing kos dan keyakinan pihak berkepentingan.

“Kami mengukuhkan imej syarikat melalui pelbagai saluran pengiklanan dan pemasaran bagi mengukuhkan tarikan utama yang meluas, selain mempertingkatkan tawaran produk kami untuk kekal sebagai penyedia keperluan insurans terbaik untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 9:21 AM
Skip this ad x