HIDDINK (tengah) ketika sesi latihan Chelsea sebelum aksi kedua Liga Juara-Juara, pagi esok.
Reuters

London: Sukar membayangkan bekas bos Jose Mourinho pernah menganggap Chelsea sebagai pasukan bukan pilihan namun itulah tanggapan penggantinya Guus Hiddink sebelum aksi kedua, pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Paris St Germain (PSG), awal pagi esok.

Juara Perancis itu menuju ke Stamford Bridge bagi musim ketiga berturut-turut, selepas menyingkirkan Chelsea pada peringkat sama setahun lalu. Mereka sekali lagi bukan pasukan pilihan menurut Hiddink, berikutan kemenangan 2-1 pada aksi pertama di Paris, 16 Februari lalu.

Pengendali Belanda berusia 69 tahun itu mungkin bermain perang saraf namun berkata: “Kami bukannya pasukan pilihan. Kami berjaya memulihkan keyakinan dan kualiti, tapi kami tetap bukan pasukan pilihan. Kami perlu bertindak garang, pemain perlu memberikan tumpuan 100 peratus.”

Keputusan Chelsea meningkat sejak Mourinho meninggalkan pasukan itu Disember lalu apabila kalah sekali di PSG dalam 18 perlawanan bagi semua pertandingan. Kemenangan 1-0 kini sudah cukup buat mereka meloloskan diri menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Begitulah caranya mereka menundukkan PSG pada suku akhir dua musim lalu dan begitulah juga cara PSG menyingkirkan mereka musim lalu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 8:05 AM