IBU bapa perlu bijak mempengaruhi anak untuk lebih berani.
SIFAT pendiam anak banyak dipengaruhi genetik ibu bapa.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


Sering mendiamkan diri atau apabila ditanya segera tunduk tanpa sebarang jawapan! Sikap pendiam anak terutama apabila berdamping dengan orang yang tidak dikenali atau di luar kelompok keluarga pastinya membimbangkan ibu bapa apabila memikirkan apakah si kecil yang bakal menjejakkan kaki ke alam persekolahan boleh menyesuaikan dirinya?

Kanak-kanak pendiam sering kali tidak memberi maklum balas kepada pertanyaan yang diajukan sedangkan mereka tahu jawapannya dan hal ini berlaku disebabkan pelbagai faktor penyebab.

Banyak faktor yang mempengaruhi sikap pendiam seseorang kanak-kanak antaranya genetik, pendedahan ibu bapa terhadap ilmu bersosial, persekitaran, gaya hidup dan asuhan penjaga atau pengasuh.

Pakar Psikoterapi Klinikal & Pengetua Akademi Keibubapaan Asia Ko Teik Yen berkata, faktor genetik memainkan peranan penting dalam pembentukan personaliti kanak-kanak.

Menurutnya, sikap kanak kanak-kanak yang tidak mahu bercakap, enggan bergaul dan mempunyai personaliti seolah-olah tidak suka bersosial kebiasaannya disebabkan faktor genetik yang diperoleh daripada keturunannya.

Katanya, kebiasaannya apabila salah seorang ibu atau bapa kurang bercakap atau pendiam, maka potensi lebih besar anaknya turut mewarisi sikap itu.

“Anak mungkin tidak boleh ‘lari’ daripada memiliki genetik pendiam, tetapi mereka boleh diasuh dan diberi pendedahan kepada ilmu bersosial. Namun begitu, jika tiada pendedahan diberi kepada anak, mereka akan terus menerus menjadi pendiam dan inilah sebabnya interaksi sosial sukar untuk diaplikasi apabila mereka sudah memasuki alam persekolahan.

“Disebabkan itu, dorongan dan didikan ibu bapa serta individu yang mempunyai kaitan rapat dengan kanak-kanak amat penting kerana ia dapat memberikan pengaruh besar dalam pembentukan keperibadiannya sekali gus menentukan sikap kanak-kanak terbabit,” katanya.

Asuhan dan bimbingan

Menurut Ko, perwatakan pendiam itu turut boleh dibezakan mengikut asuhan yang diterima daripada penjaganya.

“Kita boleh bezakan kanak-kanak yang tinggal di pusat asuhan dengan di rumah. Di pusat asuhan, kanak-kanak lebih banyak bergaul, mudah mesra, tidak pemalu, keletah dengan ramai rakan yang pelbagai usia berbanding dengan anak yang duduk di rumah kerana hanya ditemani ibu, datuk, nenek atau pembantu rumah.

“Namun, sekiranya penjaganya rajin melayan berkomunikasi dan menggalakkan si kecil bercakap, sikap pendiam boleh diatasi kerana pengaruh asuhan mempunyai kuasa yang agak besar dalam pembentukan keperibadian kanak-kanak,” katanya.

Ko berkata, kanak-kanak menjadi pendiam disebabkan asuhan di peringkat tumbesaran dan gaya hidupnya. Kanak-kanak memerlukan rangsangan daripada ibu bapa untuk mengajar mereka berinteraksi dengan persekitaran.

“Inilah sebabnya, cara asuhan yang diterima dan pendedahan kepada persekitaran penting dalam menentukan pendiam atau tidak kanak-kanak itu selain faktor genetik yang memang ada pada diri mereka.

“Kanak-kanak pendiam ini perlu diajar cara berinteraksi dan didedahkan dengan persekitaran yang melebihi sempadan adik-beradik dan saudara-mara iaitu perlu dibiarkan bersosial dengan rakan sebaya, jiran atau rakan ibu bapa mereka,” ujarnya.

Katanya, ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh terbaik dalam bersosial iaitu sentiasa menegur sapa jiran tetangga atau sering bertanya khabar rakan baik.

Lain pula fenomena apabila kanak-kanak yang pada awalnya peramah tetapi tiba-tiba berubah menjadi pendiam.

“Mungkin ada sesuatu perkara berlaku. Mereka mungkin berada dalam keadaan tertekan atau menghadapi masalah. Jangan sangka orang dewasa saja yang tertekan dan ada masalah. Kanak-kanak juga ada masalah tersendiri sesuai dengan dunia mereka. Justeru, ibu bapa dan ahli keluarga perlu memerhati setiap perubahan personaliti anak-anak.

“Kanak-kanak ini mungkin mengalami penderaan seksual secara fizikal dan psikologi. Penderaan boleh menyebabkan tingkah laku mereka berubah, lebih suka menyendiri dan pendiam,” katanya.

Tambah Ko, atas faktor itu, ibu bapa perlu memerhatikan setiap perubahan yang terjadi pada anak bagi memastikan tumbesaran si kecil sentiasa terkawal.

“Pengaruh gajet atau telefon bimbit juga semakin membimbangkan kerana kajian mendapati kanak-kanak cenderung untuk mendiamkan diri dan bersendiri sekiranya terlalu terdedah dengan alat teknologi itu.

“Jangan biarkan mereka taasub dengan gajet dan kawal gerak-geri anak supaya pengaruh negatif tidak mempengaruhi pemikiran mereka yang akhirnya merosakkan keperibadian kanak-kanak itu,” ujarnya.

Ko berkongsi antara kaedah yang boleh dilakukan bagi mempengaruhi kemahiran komunikasi kanak-kanak:

- Banyakkan komunikasi, bercerita dan menggalakkan anak bercerita perjalanan hariannya kepada anda. Untuk menggalakkan anak bercerita, anda boleh bertanya mengenai rakan baiknya dan peristiwa menarik pada hari itu.

- Mencari idea untuk memastikan anak gemar mengadu atau bercerita kepada anda.

- Sentiasa menunjukkan contoh sifat peramah seperti bergaul mesra dengan saudara-mara serta jiran tetangga.

- Minta pandangannya dalam perkara yang membabitkan dirinya contohnya warna baju, peraturan di rumah atau perancangan menu keluarga.

- Yakinkan pada dirinya, dia seorang yang berani dan kerapkan memuji.

- Jangan sesekali memperkecil-kecilkan dirinya kerana ia akan lebih memburukkan keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 4:59 AM