SHAHROM (kiri) bersalaman dengan kapten Tampines Rovers, Mustafic Fahrudin pada sidang media semalam.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kapten Selangor Shahrom Kalam mahu rakan sepasukan melupakan kekalahan 1-2 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Piala FA Jumaat lalu, sebaliknya bangkit berdepan naib juara Liga Singapura, Tampines Rovers pada Piala AFC.

Tonggak pertahanan paling berpengaruh itu berkata, skuad Red Giants perlu memandang ke hadapan dan kembali fokus bagi pertembungan penting Kumpulan E itu di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Jelasnya, kutipan tiga mata kini menjadi matlamat utama pendahulu Liga Super itu malah baginya kesempatan beraksi di halaman sendiri harus dimanfaatkan sebaik mungkin oleh rakan sepasukan.

“Bagi saya, moral pasukan masih lagi di tahap terbaik kerana kami perlu banyak belajar lagi. Bagus bagi kami, sekurangnya kekalahan kepada PDRM sebelum ini masih awal.

“Kami ada masa lagi perbaiki kelemahan dan bersedia bertemu Tampines. Kami akan cuba dapatkan tiga mata sebab kami akan beraksi di stadium sendiri dan ia peluang terbaik pasukan.”

Selangor yang memulakan kempen Piala AFC dengan membawa pulang satu mata selepas diikat 2-2 oleh kelab Filipina, Ceres sebelum ini berpeluang untuk merampas kedudukan selaku pendahulu kumpulan andai berjaya menumbangkan wakil dari seberang tambak itu.

Tampines yang ditunjangi sebahagian besar pemain utama skuad kebangsaan Singapura, berjaya membelasah Lt Sheikh Jamal Dhanmondi dari Bangladesh 4-0 pada aksi sulung sekali gus mengungguli carta Kumpulan E setakat ini.

Sementara itu, jurulatih Zainal Abidin Hassan berkata, anak buahnya harus mengikis tabiat buruk apabila mudah melepaskan gol pada awal permainan kerana ia boleh menjerat diri seperti yang berlaku ketika tewas kepada PDRM.

“Aksi di peringkat antarabangsa berbeza, satu kesilapan boleh menyebabkan satu gol terhasil. Jadi setiap pemain kena memahami tugas masing-masing dan jangan lalai.

“Saya tak mahu benda ini (terlepas gol awal) jadi tabiat dan pemain dah dapat mesej saya ini. Mereka perlu segera menyesuaikan diri dan jangan bagi gol terlalu mudah pada minit awal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 9:20 AM