RANVEER Singh dan Deepika Padukone dalam Bajirao Mastani.
SALMAN Khan dan Harshali Malhotra dalam Bajrangi Bhaijaan.
PELAKON filem Piku (dari kiri) Nawazuddin Siddiqui, Deepika Padukone dan Amitabh Bachchan.
PENGACARA Karan Johar (kiri) dan Shahid Kapoor.
ANIL Kapoor menang Anugerah Ikon Antarabangsa.
KAJOL menemani bapa mentuanya terima anugerah.
Nor Akmar Samudin (Yang membuat liputan Zee Cine Awards 2016 di Mumbai baru-baru ini)
akmar@hmetro.com.my


Sutradara filem Bajirao Mastani, Sanja Leela Bhansali tidak putus-putus menerima ucapan tahniah apabila karya itu memenangi pelbagai anugerah.

Ketika berlangsungnya Zee Cine Awards 2016 di Bandra Reliance Jio Gardens, Mumbai, India pada 20 Februari lalu, filem yang dibintangi Ranveer Singh, Deepika Padukone dan Priyanka Chopra itu merangkul 14 anugerah.

Naskhah hebat itu mengungguli kategori Filem Terbaik (Juri), Pengarah Terbaik (Sanjay Leela Bhansali), Pelakon Lelaki Terbaik (Ranveer Singh), Pelakon Wanita Terbaik (Pilihan Penonton - Deepika Padukone) dan Skor Latar Terbaik.

Anugerah lain ialah Kesan Visual Terbaik, Aksi Terbaik, Koreografi Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penyanyi latar Wanita Terbaik, Reka Bentuk Terbaik, Reka Bunyi Terbaik dan VFX Terbaik. Ketika aktor Akshay Kumar menyampaikan salah satu anugerah pada malam itu, dia bergurau dengan mengatakan lebih baik semua kemenangan diberikan kepada Bajirao Mastani.

“Dua dekad berlakon, satu anugerah pun saya belum pernah menang tetapi Ranveer Singh yang baru masih di Bollywod menang Pelakon Lelaki Terbaik.

“Bajirao Mastani juga menang pelbagai anugerah dan pada saya lebih baik semua anugerah diberikan kepada filem ini,” katanya sambil disambut tepukan dan sorakan penonton.

Sementara itu, filem Piku yang mempamerkan lakonan hebat Amitabh Bachchan dan Deepika Padukone sebagai bapa dan anak menang lima anugerah iaitu Pelakon Wanita Terbaik (Deepika Padukone), Pelakon Lelaki Terbaik (Juri - Amitabh Bachchan) , Cerita Terbaik, Dialog Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Filem Bajrangi Bhaijaan yang mengisahkan seorang lelaki lakonan Salman Khan berusaha menghantar anak kecil yang hilang di India ke pangkuan ibu bapanya di Pakistan pula meraih empat anugerah.

Filem itu menang Filem Terbaik (Pilihan Penonton) Pelakon Lelaki Terbaik (Pilihan Penonton - Salman Khan), Pelakon Wanita Terbaru Terbaik (Harshali Malhotra) dan Pelakon Lelaki Terbaik Watak Komik (Nawazuddin Siddiqui).

Menghargai sumbangan Anil Kapoor dalam industri filem Bollwyood, aktor terkenal itu menerima anugerah Ikon Antarabangsa.

Dalam kemeriahan acara berprestij itu, Deepika Padukone dan Priyanka Chopra tidak dapat hadir untuk mengambil anugerah masing-masing kerana ada komitmen penggambaran di luar negara.

Turut diwujudkan anugerah filem Benggali apabila Nelaseshe merangkul trofi Filem Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonan hebat Churnia Ganguly dan Pelakon Lelaki Terbaik (Prosenjit).

Filem Marathi Terbaik pula dimenangi Natsamrat. Manakala Amrita Subhash dan Nana Patekar masing-masing merangkul anugerah Pelakon Wanita dan Lelaki Terbaik.

Pada malam anugerah yang penuh bergaya itu, penerbit dan pengarah filem Karan Johar dan aktor kacak, Shahid Kapoor bertindak selaku pengacara utama. Sementara itu aktres Parineeti Chopra, Sonakshi Sinha dan Kriti Sanon tampil sebagai pengacara jemputan. Kehadiran tiga jelitawan itu sememangnya dinantikan peminat.

Kajol turut hadir menemani bapa mentuanya, Veeru Devgan yang mendapat Anugerah Khas Sumbangan Luar Biasa (Indian Cinema).

Shahid Kapoor berkata, dia teruja mengacarakan Zee Cine Awards 2016 kerana pasti ada benda baru akan berlaku.

“Anil Kapor misalnya, dia bukan saja pelakon yang hebat tetapi juga legenda filem Bollywood. Lebih istimewa, dia turut membuat persembahan pada malam anugerah ini.

“Meskipun sudah berusia lewan 50-an, dia tetap bertenaga seperti orang muda. Semangat dan komitmen­nya sebagai anak seni sangat mengagumkan.

Sonakshi Sinha turut bersetuju dengan kata-kata Shahid malah baginya Anil ikon kepada pelakon muda.

“Koreografer Marzi Pestonji datang ke rumah saya selepas melatih Anil Kapoor menari untuk malam anugerah ini. Dia tidak tahu apa yang Anil makan kerana sangat bertenaga,” katanya.

Anugerah itu disiarkan di semua saluran Zee TV di 169 negara pada 5 Mac lalu yang ditonton lebih 959 juta penonton.

Manakala acara ini dapat ditonton peminat Bollywood di Malaysia di saluran Zee Variasi pada 13 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 8:38 AM