SEBAHAGIAN biji benih padi yang disimpan.
BILIK sejuk untuk menyimpan benih padi supaya tahan lama.
SITE Noorzuraini memeriksa biji benih padi di tempat simpanan sejuk.
PADI yang belum dileraikan.
Oleh Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Anak Barat, Anak Ikan Sombong, Orang Betina, Tadong Mangga, Ketian Gadjih dan Puteh Perak. Anda pasti tercengang dengan nama-nama berkenaan.

Sebenarnya tidak ramai pun yang tahu kecuali pesawah ‘otai’ dan bekas pegawai pertanian yang pernah bertugas di kawasan penanaman padi.

Ini kerana ia sebenarnya nama beberapa varieti (jenis) padi tradisional yang pernah digunakan pesawah di seluruh negara, suatu ketika dahulu.

Padi berkenaan kini sudah tidak ditanam berikutan kemunculan varieti baru yang mampu mengeluarkan lebih banyak dan tahan penyakit.

Bagaimanapun, ia masih disimpan di Bank Biji Benih Padi di Stesen Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Seberang Perai, sejak lebih 30 tahun lalu bagi tujuan penyelidikan pembiakbakaan padi.

Pegawai Penyelidik Kanan MARDI Site Noorzuraini Abd Rahman berkata, bank padi itu ditubuhkan selepas wujudnya kesedaran untuk mengumpul dan menyimpan germplasma padi tradisional negara daripada pupus.

Beliau berkata, aktiviti pengumpulan padi tradisional bermula sekitar tahun 1950-an oleh Jabatan Pertanian sebelum ia diperluaskan.

“MARDI mengambil alih inisiatif ini pada 1971 iaitu selepas dua tahun penubuhannya. Semua germplasma padi yang dikumpul diserahkan kepada MARDI.

“Berikutan itu, tempat penyimpanan biji benih padi pertama di Malaysia ditubuhkan yang terletak di Stesen MARDI Bumbong Lima, Seberang Perai.

“Tempat penyimpanan ini sebenarnya sebuah bangunan kecil yang dilengkapi bilik sejuk dikenali sebagai Koitotron. Bilik sejuk ini hanya boleh menampung simpanan biji benih padi untuk jangka masa pendek dan sederhana,” katanya.

Menurutnya, aktiviti pengumpulan germplasma padi yang berterusan setiap tahun mengakibatkan kapasiti tempat penyimpanan biji benih itu semakin terhad.

“Sehubungan itu, MARDI bekerjasama dengan Bioversity International menubuhkan sebuah bank biji benih padi yang baru di dalam Stesen MARDI Seberang Perai.

“Bank ini dilengkapi bilik sejuk bagi menyimpan biji benih padi untuk jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Ia bukan saja menjadi tempat penyimpanan padi tetapi berperanan penting dalam pelbagai bidang penyelidikan terutama pembiakbakaan,” katanya.

Site Noorzuraini berkata, peranan utama ‘bank’ itu ialah membekal biji benih padi dan menyalur maklumat seperti sifat morfologi, ketahanan penyakit dan ciri-ciri spesialiti yang tersimpan dalam sistem pangkalan data.

“Aktiviti rutin yang dilakukan di bank berkenaan bagi setiap musim penanaman ialah aktiviti penggandaan biji benih padi, pencirian sifat morfologi pokok, padi dan beras serta saringan penyakit.

“Aktiviti penggandaan biji benih penting untuk memastikan kuantiti padi di dalam simpanan sentiasa mencukupi bagi memenuhi permintaan penyelidik di MARDI dan institut penyelidikan lain.

“Selain itu, biji benih padi sentiasa diperbaharui sebelum tempoh akhir jangkaan hidupnya di dalam simpanan bagi menjamin biji benih yang tersimpan sentiasa dalam keadaan bernas dan terjamin kualiti percambahannya,” katanya.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan pemohon memperoleh biji benih yang mempunyai percambahan yang baik dan dapat digunakan dalam penyelidikan mereka.

“Maklumat pencirian sifat morfologi dan saringan penyakit pula sangat berguna kepada pembiak baka untuk menghasilkan varieti baru.

“Sehingga kini, sebanyak 12,883 aksesi padi disimpan di sini. Padi yang disimpan merangkumi jenis tradisional Malaysia dan luar negara seperti Indonesia, Thailand, India, Bangladesh, China, Jepun, Myanmar, Vietnam, Pakistan dan Amerika Syarikat.

“Varieti padi negara yang diisytihar dan baka padi yang terhasil adalah daripada aktiviti kacukan dan pembiakbakaan,” katanya.

Site Noorzuraini berkata, pengenalan sistem penanaman padi dua kali setahun pada 1960-an dan penghasilan varieti berhasil tinggi melonjakkan peningkatan aktiviti pembiakbakaan padi negara.

“Antara baka padi tradisional yang digunakan ialah Kurau Wangi, Tangkai Rotan, Pandan Gelap, Engkatek, Secupak, Pongsu Seribu 2, Mayang Ebos 80, Radin Goi, Seraup 50 dan Siam 29.

“Baka padi luar negara yang digunakan pula ialah IR64, Tadukan, Tetep, Tjina, Basmathi 370, Kasturi, Khaw Dawk Mali, Hosiyutaka, Sigadis, Pebifun, Taichu 65, Zenith dan Peta.

“Sehingga kini, sebanyak 44 varieti padi moden sudah diisytihar MARDI untuk memenuhi keperluan industri padi negara,” katanya.

Site Noorzuraini berkata, dua daripada varieti itu ialah beras pulut iaitu Pulut Siding dan Pulut Malaysia 1 manakala satu varieti beras pulut hitam dikenali sebagai Pulut Hitam 9.

“Ia termasuk tiga varieti beras spesialti iaitu MRQ76, MRQ74 dan MRQ50 yang terkenal dengan jolokan sebagai beras Basmati Malaysia.

“Satu varieti yang terkenal sebagai berhasil tinggi ialah MR219 dan terkini beras merah MRM16 iaitu beras yang baik untuk kesihatan kerana nilai glisemik yang rendah sesuai dimakan terutama untuk pesakit kencing manis.

“Dengan teknologi terkini, MARDI berjaya menghasilkan dua varieti padi iaitu MR220 (CL1) dan MR220 (CL2) yang membawa gen rintang kepada sejenis racun rumpai,” katanya.

Beliau berkata, varieti itu dihasilkan untuk mengawal padi angin supaya pesawah dapat memperoleh hasil yang tinggi.

“Bank biji benih di setiap negara adalah khazanah negara dan sumber kekayaan kepelbagaian genetik tanaman. Begitu juga dengan bank biji benih padi di Malaysia. Ia bukan saja tempat simpanan padi tetapi menyimpan sumber genetik yang tidak ternilai harganya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 5:58 AM