Penunjuk perasaan di New York City membakar bendera Amerika Syarikat ketika memprotes keputusan juri untuk tidak mendakwa anggota polis yang menembak mati pemuda kulit hitam.
Reuters

Missouri: Lebih 2,000 anggota Pengawal Kebangsaan yang dikerah bagi membantu polis di St Louis, semalam berjaya mengekang keganasan daripada berlaku pada malam kedua selepas juri memutuskan tidak akan mendakwa anggota polis yang menembak mati seorang remaja lelaki kulit hitam.

Tunjuk perasaan turut merebak ke seluruh Amerika Syarikat (AS) manakala Presiden Barack Obama menggesa dialog diadakan bagi membincangkan isu itu.

Peguam Negara turut berjanji akan menyuiasat secara terperinci berhubung penembakan Michael Brown, 18 Ogos lalu.

Walaupun kawalan diperketatkan di Ferguson, sebuah kereta peronda polis dibakar berhampiran dewan bandar raya menjelang malam.

Pihak polis turut melepaskan bom asap dan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan di sekitar bandar raya berkenaan.

Sekumpulan penunjuk perasaan bertempur dengan polis di depan ibu pejabat polis serta memecahkan tingkap kedai sebelum disuraikan dengan penyembur lada.

Jumlah peserta demonstrasi bagaimanapun berkurangan dan lebih terkawal berbanding Isnin lalu ketika pengumuman keputusan juri dibuat, yang melihat beberapa kedai dibakar serta dijarah.

Ketua Polis St Louis County Jon Belmar berkata, lebih 60 orang ditahan pada malam itu berbanding hanya 44 semalam.

“Secara umumnya, semalam lebih terkawal dan tidak banyak kebakaran atau tembakan berlaku.

“Hanya segelintir yang nampak mahu menghuru-harakan keadaan, sebaliknya lebih ramai yang berhimpun secara aman,” katanya.

Beberapa pasukan Pengawal Kebangsaan mengawal kedai-kedai yang dirosakkan dalam kejadian Isnin lalu.

Pemilik kedai dan bangunan turut membantu mengawal keadaan dari atas bumbung kedai dan ada yang membawa alat pemadam api serta senjata sebagai langkah berjaga-jaga kerana bimbang premis itu menjadi sasaran serangan.

Sementara itu, tunjuk perasaan juga berlaku di tempat lain, termasuk di Los Angeles dan Washington DC.

Di New York, polis menggunakan penyembur lada untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang cuba menghalang Terowong Lincoln dan Jambatan Triborough serta berarak ke Times Square.

Ratusan orang turut berarak di Harlem sambil melaungkan ‘Racist police!’

Di Los Angeles, penunjuk perasaan membaling botol air dan objek lain ke arah anggota polis di luar ibu pejabat polis selain menghalang lalu lintas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 5:06 AM