KAWASAN kediaman yang jelas terpampang.
Oleh Afiq Hanif

Tahun lalu, sebuah kenderaan dengan kamera berdefinisi tinggi (HD) siap dipasang di atasnya mula merantau ke seluruh negara dengan satu tujuan iaitu merakam hampir semua jalan yang berada di negara ini.

Ia bagi kegunaan Street View yang menjadi sebahagian fungsi aplikasi Google Maps yang memaparkan gambar sebenar lokasi dalam peta dan kini Google Malaysia mengumumkan 90 peratus imej pemanda­ngan yang didapati di sepanjang jalan di Semenanjung Malaysia termasuk lebuh raya dan jalan bertol, jalan negeri, pusat bandar dan kawasan kejiranan berjaya dirakam.

Bukan itu saja, imej yang menunjukkan lokasi bukan jalan utama (offroad) dikumpul melalui 'Street View Trekker' menggunakan sistem kamera diletakkan di beg sandang juga dirakam tanpa pengetahuan anda.

Bagaimana untuk meng­akses Street View? Ia boleh diakses dengan mencari ikon berwarna jingga 'Pegman' di bahagian atas kanan peta dan kemudiannya leretkan ke atas jalan berwarna biru.

Antara fungsi yang ada pada Street Maps termasuk gambar berbeza yang dirakam sebelum ini memandangkan Google Street View akan terus memandu tanpa henti dan merakam gambar walaupun ia sudah melalui kawasan terbabit terutama di kawasan bandar.

Tujuannya, pengguna boleh membandingkan gambar yang dirakam tahun lalu dengan imej baru tahun ini.

Tidak dinafikan, Google memaklumkan ia memastikan privasi Google Maps akan dipatuhi dengan baik ketika pengguna menggunakan imej Street View.

Ia membangunkan teknologi sofistikated yang dapat mengaburkan wajah manusia dan plat kenderaan bagi menghalangnya dilihat individu secara 'online'.

Ditambah pula, Google juga akan memenuhi permintaan mereka yang tidak mahu wajah atau imej mereka dipaparkan di Street View dengan menghantar permintaan tersebut melalui 'Report a problem' yang terdapat di bahagian bawah kanan Google Maps.

Persoalan timbul apabila Google dikatakan melanggar hak peribadi dengan merakam foto tanpa izin termasuk kawasan perumahan dengan kamera HD.

Ia berikutan aplikasi berkenaan membolehkan orang ramai melihat tempat awam, termasuk kedudukan rumah dengan hanya memasukkan alamat sebelum melakukan carian menggunakan aplikasi itu.

Maka, bermulalah orang ramai bimbang dengan keselamatan kediaman masing-masing kerana aplikasi itu memaparkan dengan jelas kedudukan rumah, sekali gus memudahkan pihak tertentu terutama penjenayah mengambil kesempatan daripada teknologi berkenaan.

Sedangkan mesin ATM pun boleh digodam perompak, apatah lagi paparan rumah yang jelas terpampang di skrin komputer seakan menjadi cetakan biru atau 'blue print' untuk merancang terlebih dahulu.

Selain itu, kenapa perlu pengguna yang meminta Google menurunkan gambar yang sudah dipamerkan secara online apabila pihak yang merakam sendiri seharusnya meminta izin sebelum merakam foto rumah kediaman peribadi.

Kita boleh membayang­kannya dalam senario apabila terdapat individu merakam foto ahli keluarga dan memindah naik­nya di Internet kemudian meminta anda pula yang membuat permohonan sekiranya tidak mahu gambar dipamerkan online. Mana logiknya?

Mengulas mengenainya, pengamal undang-undang, Wan Anwar Wan Ibrahim berpendapat, Google seharusnya lebih berhati-hati dalam memperkenalkan aplikasi seperti Street View yang mengundang kontroversi.

"Dalam erti kata lain, pihak Google seharusnya mengkaji terlebih dulu aspek perundangannya dalam semua sudut termasuklah isu privasi kerana dibimbangi penggunaan aplikasi terbabit boleh mencetuskan tindakan kelas atau 'class action' dalam kalangan masyarakat.

"Ia sekali gus boleh mendorong mahkamah untuk memperkenalkan tafsiran undang-undang baru yang seterusnya ditakuti akan memberikan kesan negatif terhadap perkembangan teknologi di Malaysia," kata­nya.

Menurutnya, isu keizinan atau kebenaran juga harus diteliti de­ngan lebih berhati-hati memandangkan ia juga boleh mengundang 'floodgate' tindakan undang-undang jika dikuatkuasakan termasuklah kepada mereka yang gemarkan selfie kerana sudah tentu akan membabitkan orang awam dan harta persendirian.

"Agak sukar untuk kita menunjukkan aplikasi Google Street View ini menyalahi undang-undang kerana tiada satu pun undang-undang atau akta yang secara tepat dan menyeluruh menangani isu yang berkaitan dengan penggunaan dan pengendalian sebarang aplikasi berteknologi tinggi di Malaysia," katanya.

Namun, menurut Wan Anwar, terdapat undang-undang yang membabitkan kacau ganggu (tort) iaitu secara khususnya berkenaan dengan pencerobohan terhadap diri (trespass to person) dan pencerobohan terhadap harta (trespass to property).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cyber-Security Malaysia, Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, aplikasi yang dibangunkan oleh Google itu adalah selari dengan perkembangan teknologi pada masa ini.

"Bagaimanapun, Google sudah memberi panduan kepada orang ramai untuk menyembunyikan maklumat dan imej rumah serta premis mereka daripada dilihat umum," katanya.

Rata-rata orang ramai yang ditemui juga melahirkan kebimbangan terhadap isu privasi dalam aplikasi ini.

Izwan Ibrahim, 32, memaklumkan Google seakan membuang masa pengguna apabila terpaksa menyemak alamat kediamannya dan ahli keluarga yang lain.

"Mungkin disebabkan saya tahu serba sedikit mengenai Internet, ahli keluarga di kampung pula meminta untuk melaporkan kepada Google, tidakkah ia membuang masa dan menambah bebanan kerja?" soalnya.

Bagi Siti Aminah Sulaiman, 25, Google seharusnya mengaburkan terus semua kediaman dan pengguna yang mahukan kediaman mereka ditayangkan online boleh memohon kepada syarikat berpengkalan di Amerika Syarikat terbabit.

"Kenapa pengguna yang perlu melaporkan apabila Google sendiri sepatutnya memadamkan terus gambar kediaman," kata­nya.

Pada 2012, GOOGLE Inc menerima saman kira-kira RM75,291 atas kesalahan menghalang penyiasatan kerajaan Amerika Syarikat (AS) terhadap kumpulan data miliknya bagi projek Street View yang membolehkan pengguna melihat imej atas jalan raya apabila mereka memetakan lokasinya.

Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan AS (ACC) yang mengenakan denda berkata, Google didakwa mengumpulkan maklumat peribadi tanpa kebenaran dan sengaja tidak bekerjasama dengan siasatan yang dijalankan oleh FCC.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 2:47 AM