UQASHA pegang watak Izzah untuk pementasan teater Ombak Rindu di Istana Budaya pada 22 April ini.

Watak Izzah untuk teater Ombak Rindu akhirnya diserahkan kepada Uqasha Senrose. Pemilihan ini agak mengejutkan kerana penerbitnya sebelum ini, Siti Rohayah Atan mahukan pelakon tidak bertudung.

Apa sudah jadi dan mengapa ubah fikiran pada saat akhir? Apakah dalam keadaan terdesak, akhirnya pilih pelakon popular yang boleh memberi komitmen?

Rohayah ketika dihubungi Jumaat lalu mengesahkan pihaknya membuat pemilihan muktamad untuk watak Izzah.

Pelakon Tundukkan Playboy Itu yang kini disiarkan di TV3 melalui slot Akasia sejak 17 Februari lalu disifatkan memenuhi kriteria yang dicari tetapi tidak dapat menafikan satu kriteria terpaksa ditolak ke tepi.

Katanya, mereka hanya merancang mahukan pelakon tidak bertudung untuk mengelakkan sensitiviti malah sudah berusaha ke arah itu tetapi akhirnya akur, pelakon yang diinginkan tidak dapat menerima lamaran mereka.

Pada awalnya mereka mahukan Siti Saleha dan Amyra Rosli. Bagaimanapun, Saleha terbabit dengan satu produksi filem luar yang memulakan penggambaran pada April ini. Begitu juga dengan Amyra sibuk dengan komitmennya.

Bagi Rohayah, lakonan Uqasha juga bagus dan paling penting, orangnya cantik dan popular. Uqasha juga tiada komitmen lain selepas selesai penggambaran Tundukkan Playboy Itu.

“Soal Uqasha bertudung bagi saya itu hanyalah satu masalah kecil. Memang dalam novel Ombak Rindu 1, 2 dan 3, watak Izzah tidak bertudung. Apabila pelakon untuk watak Izzah bertudung, kami tiada masalah untuk disesuaikan dengan penampilannya,” katanya.

Rohayah juga akui untuk pementasan besar sememangnya tidak berani mengambil pelakon baru sebagai teraju utama sebaliknya pelakon baru menjadi barisan kedua bersama pelakon lama yang sudah dikenali kemampuan mereka.

Mahu atau tidak, mereka perlu utamakan pelakon popular dan ada rupa untuk dijadikan satu tarikan penonton membeli tiket. Bagaimanapun, mereka tidak sesekali berkompromi soal bakat.

“Mereka yang dipilih mesti ada bakat, bukan hanya mengambil pelakon berwajah cantik atau kacak saja kerana ini pentas teater yang berbeza dengan lakonan di TV atau pun di layar perak,” katanya.

Barisan pelakon Ombak Rindu akan memulakan latihan pada 28 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2016 @ 5:04 AM