SUV tujuh tempat duduk.
RUANG but yang luas dalam kelasnya.
ENJIN 2.4 liter Mivec.
KABIN yang tampak kemas.
Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Akhirnya, kenderaan utiliti sukan (SUV) Mitsubishi Outlander hadir di negara ini bagi memberi saingan sengit kepada model terdekatnya Nissan X-Trail.

Jika dibandingkan, kedua-duanya mempunyai ciri sama iaitu tujuh tempat duduk, enjin 2.4 liter serta pacuan empat roda (4WD).

Cuma Mitsubishi Outlander yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, tampil imej hadapan Pelindung Dinamik iaitu konsep rekaan untuk menghamburkan prestasi berkuasa dan jaminan rasa perlindungan daripada generasi kenderaan Mitsubishi.

Ia juga memiliki ciri premium seperti bumbung suria, but bukaan elektrik, lampu hadapan bersama lampu siang (DRL) serta ditambah rim aloi dua tona bersaiz 18 inci.

Keselesaan ruang kabin diperkemaskan dengan kerusi balutan kulit, selain ruang kargo terbaik dalam kelasnya yang boleh memuatkan empat beg golf atau tilam bujang berkapasiti 1,608 liter.

Biarpun ia SUV bersaiz sedikit besar, ia sebenarnya mudah membuat pusingan dengan radius 5.3 meter. Di sebalik enjin 2.4 liter Mivec, ia menawarkan kuasa maksimum 167PS pada 6,000rpm dengan tork setinggi 222Nm pada 4,100rpm.

Ia juga dipadankan sistem pelbagai pilihan 4WD yang menawarkan tiga mod berbeza membabitkan 4WD ECO, 4WD Auto dan 4WD Lock.

Bagi menjimatkan penggunaan bahan api, mod 4WD ECO adalah ciri terbaik yang mana kuasa kilas disalurkan ke roda hadapan pada pemanduan biasa. Ia juga boleh mengagihkannya secara automatik kepada semua roda untuk memberi kestabilan lebih baik ketika pemanduan di jalan licin.

Faktor itu sekali gus menjadikannya kenderaan terbaik dalam kelasnya dengan mencatatkan kecekapan bahan api sehingga 12.8 kilometer setiap liter.

Mod 4WD Auto mengagihkan kuasa kilas kepada roda bagi memberikan prestasi mengambil selekoh dengan lebih lancar dan mengekalkan kestabilan pada kelajuan tinggi, manakala 4WD Lock bersesuaian digunakan ketika mendaki bukit, jalan berlumpur atau laluan sukar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) Sdn Bhd, Yang Won-Chul berkata, pihaknya menyasarkan 1,300 unit jualan SUV berkenaan bagi tahun kewangan antara April 2016 sehingga Mac 2017.

“Model itu dijadual tiba di bilik pameran Mitsubishi di seluruh negara pada April ini dan pelanggan sudah boleh membuat tempahan,” katanya pada majlis mempertontonkan Mitsubishi Outlander, baru-baru ini.

Mitsubishi Outlander hadir dengan tiga pilihan warna membabitkan merah, putih dan kelabu, selain dilengkapi ciri keselamatan terkini dengan tujuh beg udara, Kawalan Kestabilan Aktif dan Bantuan Mula Menaiki Bukit.

Ia ditawarkan pada harga pengenalan secara eksklusif pada RM166,720 atas jalan bagi kenderaan yang ditempah dan didaftarkan sebelum 31 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2016 @ 5:01 AM