AFP

Manchester: Manuel Pellegrini (gambar) mengingatkan pemain Manchester City supaya memastikan kekalahan di tangan Liverpool tidak berulang jika mereka masih berhasrat memenangi Liga Perdana, bermula dengan menentang Aston Villa malam ini.

Kekalahan 0-3 City di Anfield yang ketiga berturut-turut buat mereka dan walaupun masih berbaki satu perlawanan di tangan, jurang 10 mata dengan pendahulu Leicester City ketika saingan hanya tinggal dua bulan, pasti mengundang risiko.

Apa yang membimbangkan City adalah walaupun kelihatan mantap dalam pertandingan merebut piala, mereka hanya menang sekali sepanjang empat perlawanan sejak Pellegrini membuat pengumuman beliau akan meninggalkan kelab itu hujung musim ini bagi memberi laluan kepada Pep Guardiola.

Aksi tempat sendiri menentang kelab kelompok bawahan, Villa malam ini akan memberi peluang buat City untuk mengumpul mata dan Pellegrini sama sekali tidak mahu anak buahnya melakukan kesilapan sama ketika mereka bertemu Liverpool.

“Sudah tentu kami tidak boleh bermain dengan corak dipamerkan ketika bertemu Liverpool. Kami bukan setakat melepaskan tiga gol tapi juga langsung tidak membuat sebarang percubaan ke arah gawang lawan,” kata Pellegrini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 5:34 AM