KEPUASAN Akim apabila dipilih sebagai Komposer Muda Berpotensi oleh MACP.
YUNA bersama hadiah kemenangannya.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Menghasilkan 10 lagu dan lirik dalam tempoh tiga tahun sudah memadai buat penyanyi Akim Afiq Hakim Ahmad atau Akim untuk dipilih sebagai Komposer Muda Berpotensi pada Malam Ulang Tahun Jubli Perak Persatuan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (M) Berhad, MACP 2014 pada Ahad lalu.

Pemilihan jejaka berusia 23 tahun ini dibuat ahli lembaga jawatankuasa MACP berikutan pencapaian mantap ditunjukkan dalam memperjuangkan genre muzik pop rock dan balada nyanyiannya selepas menyertai Akademi Fantasia musim ketujuh.

Akim ketika ditemui berkata, persaingan kuat dengan artis muda lain dan sifat kerja keras serta usaha gigih yang ditunjukkan menjadi resipi utamanya meraih pengiktirafan ini.

"Terima kasih MACP kerana memilih saya. Tak dinafikan adakala saya berdepan tekanan ketika proses menghasilkan lagu kerana tiada idea.

"Harapan tinggi peminat terhadap saya membuatkan saya bersemangat untuk hasilkan karya terbaik," katanya.

Akim yang mencatat kutipan tertinggi menerusi lagu Inilah Cinta dan Jahatnya Cinta (duet dengan Stacy) mengakui cuba mempelbagaikan hasil karyanya agar peminat tidak bosan dengan konsep yang sama.

"Dapat dilihat perbezaan di mana lagu Inilah Cinta agak rancak manakala lagu terbaru Mewangi lebih mendalam melodinya. Peminat pula boleh menerima kelainan yang dibuat.

"Insya-Allah saya akan terus menghasilkan karya yang baik selepas ini dan untuk tahun depan nak meluaskan lagi bakat dengan menghasilkan karya untuk dinyanyikan artis lain pula," katanya.

Yuna pula memenangi kategori Lagu Inggeris Persembahan Terbanyak menerusi lagu I Wanna Go hasil ciptaannya bersama Mike Einziger yang juga pemain gitar kumpulan Incubus dari Amerika Syarikat.

"Saya bersyukur kerana terpilih. Ini gelaran kedua kerana saya pernah menang Kategori Persembahan Terbanyak Bahasa Melayu menerusi lagu Dan Sebenarnya pada 2011.

"Insya-Allah kalau berpeluang tahun depan saya nak hasilkan lagu untuk artis lain juga tapi fokus saya ialah untuk album sendiri untuk pasaran Amerika Syarikat," katanya.

Penerima bagi anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak diraih Edry KRU, manakala Nadi Cipta pula diraih komposer terkenal, Saari Amri yang menaikkan nama artis terkenal antaranya Ziana Zain, Ella dan Aris Ariwatan.

Anugerah Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak masih kekal didominasi oleh EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd. Begitu juga anugerah Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak masih diungguli oleh Luncai Emas Sdn Bhd milik Datuk M Nasir.

Tidak ketinggalan, Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak diterima oleh Habsah Hassan yang juga Pengerusi MACP. Kategori Pendapatan Luar Negara Tertinggi diraih Michael Wong menerusi lagu ciptaannya, Tong Hua.

Lagu Cina Persembahan Terbanyak oleh Fuying & Sam (Fen Kai Yi Hou) dan Lagu Melayu Persembahan Terbanyak oleh Zizan & Kaka (Bawaku Pergi).

Habsah yang menang buat kali keempat mengakui kemenangan ini bukanlah bermaksud dia bagus, tetapi kerana penulis lirik seangkatannya sudah kurang menulis.

"Loloq sudah tiada manakala Juwie tak aktif buat lirik lagi. Apapun saya bersyukur kerana masih mampu bertahan. Saya sekarang nak berkongsi pengalaman dengan pelapis-pelapis supaya serius dengan kerja yang dibuat.

"Ia bukan satu kerja glamor yang diraih sekelip mata. Kita memang kena ikut perkembangan semasa ketika menulis lirik tapi perlu ada ciri malar segar," katanya yang turut menghasilkan lirik untuk album terbaru Alif Satar berjudul Kesempatan Kedua.

Habsah yang berdepan masalah kesihatan tetap gigih menganjurkan majlis ini kerana ia adalah sempena 25 tahun MACP ditubuhkan.

"Syukur saya mempunyai barisan tenaga kerja yang bagus sekali gus memastikan penganjuran majlis yang amat istimewa ini berjalan lancar seperti yang dirancang.

"Cuma MACP berdepan masalah sampingan iaitu pemberian pengiktirafan Badan Pelesenan kepada dua kumpulan pelaku yang mengelirukan ramai pengguna muzik sekali gus MACP menjadi pusat pertanyaan bagi mereka yang tak berpuas hati.

"Justeru MACP berharap masalah ini diambil perhatian oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab. Diharapkan juga, pemilik-pemilik hakcipta yang berkaitan haruslah bersatu dalam satu badan pelesenan atau menyelesaikan masalah di antara dua badan pelesenan ini kerana ia turut menjejaskan pengutipan MACP daripada pengguna-pengguna muzik dan akan berterusan sehingga penyelesaian dicapai," katanya.

Kesemua bayaran itu diperoleh daripada penyiaran lagu di stesen radio, televisyen, tempat awam dan aktiviti muat naik melalui telefon bimbit serta laman sosial seperti YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 5:02 AM