RICHARD Marx.
Oleh Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Tidak dinafikan, penyanyi dan komposer terkenal Richard Marx antara penghibur paling berpengaruh di peringkat antarabangsa.

Malah, hampir tiga dekad berkecimpung dalam bidang muzik, jualan album Marx, 52, sudah terjual 30 juta di seluruh dunia.

Bermula dengan single yang dihasilkan sendiri, penyanyi hebat kelahiran Chicago ini tidak menoleh ke belakang lagi.

Selepas meletakkan dirinya di tangga ke-8 carta serta memonopoli empat kedudukan Top 5 Single, Marx turut dicalonkan dalam kategori Persembahan Lelaki Rock Vokal Terbaik Anugerah Grammy 1988 menerusi lagu hitsnya, Hold On To The Nights dan Don’t Mean Nothing.

Menyusul selepas itu, albumnya yang berjudul Repeat Offender berjaya bertakhta di kedudukan teratas kategori platinum dengan dua single hits iaitu Satisfied dan Right Here Waiting yang dihasilkan pada 1989.

Lebih memberansangkan, album Rush Street (lagu hits Keep Coming Back dan Hazard) dan Paid Vacation (Now and Forever) menjadi kegilaan ramai, sekali gus berjaya meletakkan Marx pada tangga teratas selama tujuh tahun berturut-turut dan menempa nama dalam sejarah pop-rock.

Sehingga hari ini, Marx satu-satunya artis lelaki yang berjaya menapak di Top 5 carta Billboard dengan tujuh single.

Pada 8 Julai 2014 pula, Marx menghasilkan album kelapan berjudul Beautiful Goodbye dan memberikan nafas baru dalam penulisan lagu seperti single Whatever We Started.

Baru-baru ini, Marx memberi kenyataan menghasilkan album yang lebih ‘seksi’ berbanding sebelum ini.

“Lagu yang dimuatkan dalam album ini banyak dipengaruhi nama besar dalam industri muzik seperti Sade, Bebel Gilberto dan pelbagai artis EDM termasuklah Chopin.

“Selama ini saya dikenali dengan muzik romantis, tetapi kali ini saya mahu tampil berbeza dengan cuba mencipta muzik yang lebih berkarakter dan halus.

“Lirik yang dihasilkan juga lebih mencabar daripada yang pernah dibuat sebelum ini,” katanya.

Semua trek lagu dalam album Beautiful Good­bye ditulis dan dihasilkan Marx sepenuhnya kecuali lagu Getaway yang dihasilkan bersama pencipta lagu lain dan Beautiful Goodbye ditulis bersama dengan Daisy Fuentes.

Album edisi khas Beautiful Goodbye turut memuatkan dua lagi lagu iaitu Just Go dan Moscow Calling yang menyaksikan Marx berkolaborasi dengan artis terkenal EDM dan DJ Morgan Page.

Bagi mengubat kerinduan peminat setianya di negara ini, Marx mengadakan konsert solo jelajahnya, Richard Marx Jelajah Asia 2016 yang akan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada tanggal 9 Mac ini, jam 8.30 malam.

Jualan tiket bermula jam 10 pagi pada 8 Januari di semua platform Ticketpro Malaysia di www.ticketpro.com.my. Mereka yang berminat menonton persembahan penyanyi hebat ini boleh memilih sama ada mahu membeli tiket berharga RM528 (terhad), RM428, RM328, RM228 atau RM 128.

Untuk keterangan lanjut, layari www.facebook.com/FatBoysMY.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 4:46 AM